Monday, December 14, 2009

Karate-do: Hatta jejak podium utama


MOHD. Hatta (kiri) dan Jamalliah Jamaludin yang tampil hebat untuk menjulang nama skuad karate-do negara pada Sukan SEA XXV semalam.


VIENTIANE - Penyertaan sulung Mohd. Hatta Mahmud dalam acara individu membuahkan hasil.

Semalam, dia menang pingat emas acara karate-do bagi kategori 84 kilo- gram (kg) Kumite lelaki individu selepas menewaskan Hendro Salim pada perlawanan akhir di Gymnasium Budo Centre.

Hatta, 23, yang berasal dari Parit Buntar, Perak, menewaskan Hendro dengan keputusan 10-2.

Sebelum mara ke perlawanan akhir akhir, Hatta mengalahkan peserta tuan rumah, Soukphansa dengan kemenangan 10-1.

"Ini merupakan penyertaan pertama saya dalam acara individu dan ia telah membuahkan hasil. Saya mengorbankan banyak masa untuk menghadiri latihan dan menyertai pertandingan.

"Kemenangan ini untuk ibu bapa saya yang tidak pernah putus asa memberi dorongan kepada saya," katanya.

Mainyudin Mohamad dari Brunei dan Soukphansa (Laos) masing-masingnya meraih pingat gangsa.

Sementara itu, Jamalliah Jamaludin turut memenangi emas dalam acara individu Kumite wanita bagi kategori 61kg ke atas selepas menewaskan lawannya Lutche Metante dari Filipina 7-2 pada perlawanan akhir.

"Saya yakin untuk menang selepas mengatasi peserta Thailand, Surapee L pada separuh akhir.

"Semasa perlawanan akhir, saya memberikan yang terbaik dan mengelak dari- pada membuat sebarang kesilapan sama ada semasa pertahanan atau menyerang dan ia ternyata menghasilkan keputusan baik," katanya yang pernah memenangi pingat emas dalam acara individu wanita Kumite bawah 60kg di Sukan SEA Korat dua tahun lepas.

Pingat gangsa dimenangi bersama Surapee L. dan Sendaly (Laos).

Adik Jamalliah, Shaharuddin, 21, pula terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa apabila tewas kepada peserta Laos Inkathep 18-10 di separuh akhir.

Inkathep memperoleh emas selepas menewaskan peserta Filipina, Roland Lagman dalam perlawanan akhir.

Sementara itu, seorang lagi peserta Malaysia, G. Vathana memenangi pingat perak dalam acara individu wanita Kumite bawah 61kg selepas tewas kepada peserta Vietnam, Trieu Bui Thi 6-0 dalam perlawanan akhir.

"Peserta Vietnam itu bijak mengguna- kan peluang mendapatkan mata hasil ke- silapan saya," katanya.

No comments:

Post a Comment