Monday, December 14, 2009

Raja kolam renang




VIENTIANE, Laos - Tidak keterlaluan jika dikatakan kolam renang pada Sukan SEA XXV milik perenang negara.
Satu persatu rekod temasya diperbaharui dan semalam, dua lagi dicipta menerusi perenang sensasi, Daniel Bego (gambar).

Daniel bagaikan sudah 'ditakdirkan' untuk menakluk Pusat Renang Kompleks Sukan Nasional Laos itu.

Dia bukan sekadar berjaya meraih pingat emas malah turut meleburkan rekod kebangsaan berusia 18 tahun milik Jeffrey Ong dalam acara 400 meter gaya bebas lelaki.

Ternyata keputusan Daniel untuk beralih menyertai acara tersebut buat kali pertama membuahkan hasil apabila dia memadam rekod yang dilakukan oleh Jeffrey di Sheffield pada 1991.

Daniel mencatatkan masa 3 minit 53.99 saat, sekali gus memadam catatan yang dilakukan Jeffrey iaitu 3:56.81s.

Catatan yang dilakukan Daniel itu juga berjaya memecahkan rekod Sukan SEA berusia 14 tahun milik perenang Thailand, Torlap Sethasothon iaitu 3:57.34s.

"Sejak membuat keputusan untuk mencuba acara baru seperti 400m gaya bebas, saya memang sudah menjangkakan untuk mengutip lebih daripada dua emas di Laos. Cuma saya tidak sangka semua catatan saya menghasilkan rekod, baik rekod kebangsaan mahupun Sukan SEA.

"Namun rekod 400m gaya bebas cukup istimewa kerana ia mengatasi perenang yang saya hormati, Jeffrey Ong. Ia membuatkan saya cukup bersemangat untuk mencari emas dalam acara 200m gaya bebas dan lega rasanya kerana saya ada rehat sehari esok (hari ini)," kata Daniel yang turut memecahkan rekod Sukan SEA dan rekod kebangsaan dalam acara 200m gaya bebas lelaki kelmarin.Tidak lama selepas meleburkan rekod Jeffrey, Daniel menambah emas keduanya semalam, kali ini dalam acara 100m kupu-kupu.

Daniel mencatatkan 53.82s, sekali gus memadam rekod miliknya sendiri, 54.33s yang dilakukan pada temasya di Korat dua tahun lalu.

Perenang Indonesia, Donny Utomo meraih pingat perak manakala gangsa dimenangi Quo Phuoc Hoang dariVietnam (55.65s).

Sementara itu, Khoo Chai Lin gagal mempertahankan kejuaraan 800m gaya bebas wanita apabila menamatkan saingan di tempat kedua di belakang pencabar utamanya, Lynette Lim dari Singapura.

Bagaimanapun, catatan 8:45.36s yang dilakukan Cai Lin tetap mampu memperbaiki rekod kebangsaan 8:47.77s miliknya yang dilakukan di Bukit Jalil tahun lalu.

Sekalipun meraih perak, perenang wanita negara, Marellyn Liew tetap berbangga dengan catatan rekod baru kebangsaan dalam acara 100m kuak kupu-kupu iaitu 1:01.04s, sekali gus memadam rekod lama miliknya 1:01.56s.

Emas acara tersebut dimiliki perenang Singapura kelahiran China, Tao Li yang mencatat rekod baru Sukan SEA iaitu 59.24s.

Saingan 100m kuak lentang wanita turut menghasilkan rekod kebangsaan menerusi Chui Lai Kwan yang mencatat 1:03.91s bagi memadam rekod lama yang dilakukannya pada Sukan SEA 2005 di Manila iaitu 1:05.27s.

Lai Kwan meraih gangsa di belakang dua perenang dari Singapura, Tao Li dan Shana Lim.

Kuartet 4x100m gaya bebas lelaki yang diketuai Daniel pula gagal menyumbangkan sebarang pingat namun catatan 3:27.87s yang dilakukan mereka berjaya memecah rekod kebangsaan berusia 10 tahun iaitu 3:29.62s.

No comments:

Post a Comment