Monday, December 14, 2009

Berakhir kemarau 34 tahun


KERIANGAN terbayang di wajah setiap pemain badminton wanita negara sambil memperaga pingat emas, semalam.

Ada rasa panik, gementar, takut, terfikir pula 'matilah kami': Hui Lin

WOON Khe Wei dan Ng Hui Lin mempamer 'permainan terhebat dalam hidup' untuk menamatkan penantian 34 tahun skuad wanita negara mengungguli pingat emas berpasukan wanita selepas gah menumbangkan Indonesia 3-1 di Gimnasium 1, Kompleks Sukan Nasional Laos, semalam.

Tanpa langsung diberi peluang - terutama selepas Indonesia menggabungkan dua pakar beregu, Greysia Polii dan Liliyana Natsir - kedua-duanya bangkit untuk menjamin mata kemenangan negara 19-21, 21-12, 21-18 selepas bertarung genap sejam.

“Sukar gambarkan perasaan kami, amat-amat gembira. Ada rasa panik, gementar, takut. Malah apabila melihatkan nama Greysia dan Liliyana, perkara pertama terfikir ialah ‘matilah kami’. Kemenangan ini amat istimewa untuk kami dan rakan sepasukan lain,” kata Hui Lin.

“Ada ketika dalam perlawanan itu, saya rasa gemuruh. Tetapi Hui Lin membantu untuk kawal perasaan. Kemenangan ini sesuatu yang memang di luar jangkaan,” akui Khe Wei.

Kali terakhir skuad wanita negara memenangi emas acara itu ialah pada 1975 di Bangkok.

Segala-galanya bermula apabila Wong Mew Choo, seperti diharapkan, memberi mata pertama dengan kemenangan 21-18, 21-17 ke atas Adrianti Firdasari.

“Saya tahu tugas yang perlu dilakukan dan gembira kerana berjaya melaksanakannya,” kata Mew Choo.

Giliran Wong Pei Tty-Chin Eei Hui melebarkan kelebihan apabila hanya perlukan 33 minit untuk menang 21-17, 21-17 ke atas Shendy P Irawati-Meiliana Jauhari.

Kekalahan 8-21, 9-21 Lydia Cheah yang nyata bukan tandingan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik, Maria Kristin Yulianti, sudah diramal.

No comments:

Post a Comment