Monday, December 14, 2009

Wanita lakar sejarah


skuad badminton wanita negara menunjukkan pingat emas masing-masing selepas mencatat sejarah memenangi acara badminton berpasukan wanita Sukan SEA XXV, Laos dengan mengalahkan Indonesia 3-1 di Vientiane, semalam.

VIENTIANE - Gandingan 'bidan terjun' Ng Hui Lin-Woon Khe Wei muncul wira tidak diduga apabila mengutip mata kemenangan yang menjulang Malaysia melakar sejarah merangkul gelaran badminton berpasukan wanita Sukan SEA buat kali pertama dalam tempoh 34 tahun semalam.

Khe Wei dan Hui Lin hanya tahu mereka akan digandingkan sebaik tiba di Laos, namun notis lewat minit yang diberi jurulatih tidak menghalang mereka untuk menundukkan beregu berpengalaman Indonesia, Greysia Polii-Liliyana Natsir 19-21, 21-12, 21-18, sekali gus membawa kejuaraan buat pasukan.

Terdahulu, dua pemain paling berpengalaman, Wong Mew Choo dan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui tidak mengecewakan Malaysia apabila menyumbangkan dua mata pertama tanpa banyak masalah.

Mew Choo menumpaskan Adriyanti Firdasari 21-18, 21-17 untuk mata pertama, sebelum Pei Tty-Eei Hui mengutip mata kedua dengan menundukkan Shendy Irawati-Meiliana Jauhari 21-17, 21-13.

Namun, pemain remaja negara, Lydia Cheah mencemaskan kem badminton Malaysia apabila kalah mudah 8-21, 9-21 kepada pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Beijing, Maria Kristin.

Sudah terlalu lama Malaysia tidak memenangi acara berpasukan wanita, dan kali terakhir kita menjuarainya adalah pada Temasya Bangkok 1975. Malah, layak ke final juga sudah satu sejarah besar buat badminton wanita kerana kita tidak pernah menjejak kaki ke akhir sejak 1977.

"Sebelum turun ke gelanggang Hui Lin memberitahu saya bahawa kami sudah terlalu lama tidak memenangi gelaran berpasukan wanita, sebenarnya saya tidak mahu fikirkan sangat tentang perkara itu, tetapi sedikit sebanyak bersemangat juga hendak menamatkan kemarau.

"Saya memang tidak menjangka akan menjadi penyumbang mata kemenangan, apatah lagi Hui Lin bukan pasangan sebenar saya. Saya akan beraksi dengan Chong Sook Chin dalam acara individu dan perubahan kombinasi yang dilakukan oleh jurulatih adalah strategi jurulatih untuk acara berpasukan.

"Ia memang menjadi, benar-benar menjadi. Saya sangat berpuas hati dengan persembahan kami hari ini, berterima kasih kepada jurulatih yang memberi kepercayaan kepada kami. Saya tidak tahu apa lagi yang hendak dicakapkan, tetapi saya benar-benar gembira," kata Khe Wei.

Malaysia langsung tidak meletakkan harapan besar untuk memenangi acara berpasukan wanita, apatah lagi Indonesia turun dengan reputasi hebat selaku juara 14 kali, malah muncul naib juara Piala Uber, tahun lalu.

Bagaimanapun strategi yang menjadi, selain semangat juang tinggi yang dipamerkan pemain-pemain muda negara menghadiahkan sejarah gemilang buat badminton wanita, sekali gus meletakkan mereka setahap dengan pemain lelaki, yang terdahulu gagal merampas emas berpasukan.

Bagi Hui Lin, yang sepatutnya berpasangan dengan Goh Liu Ying mengakui, digandingkan dengan Khe Wei pada saat akhir tidak memberi banyak masalah besar kerana mereka pernah berpasangan ketika berada dalam skuad remaja kira-kira dua tahun lalu.

Bagaimanapun dia mengakui, hatinya cukup berdebar apabila mendapat tahu akan berdepan dengan Greysa dan Liliyana, pemain yang jauh lebih berpengalaman. - utusan

No comments:

Post a Comment