Thursday, November 12, 2009

Jangan tekan atlet - Dr. Ramlan


DR. RAMLAN (tengah) berbincang dengan jurulatih sepak takraw negara, Haris Abdul Rahman selepas meninjau persiapan skuad sepak takraw negara di Kuala Lumpur semalam.


KETUA kontinjen negara ke Sukan SEA Laos, Datuk Dr Ramlan Aziz meminta semua pengurus pasukan supaya tidak memberi tekanan kepada atlet semata-mata untuk mencapai sasaran pingat.

Dr Ramlan yang juga Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), berkata, atlet perlu memberi sepenuh tumpuan kepada persiapan daripada segi aspek teknik, strategi dan semangat untuk memastikan bahawa mereka benar-benar bersedia menghadapi cabaran di Laos nanti.

"Sasaran pingat yang dibuat oleh pihak pentadbir sukan bukan masalah atlet dan atlet tidak perlu fikirkan perkara ini kerana ia bakal menjadi satu beban untuk mereka," katanya ketika melakukan lawatan bagi meninjau persiapan atlet sepak takraw negara di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil semalam.

Beliau berkata, beban untuk mencapai sasaran pingat sebenarnya terletak pada bahu beliau sebagai ketua kontinjen negara, MSN, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan pengurus pasukan.

Ramlan berkata, beliau yakin bahawa setiap atlet negara yang akan bertanding pada temasya dwi-tahunan itu kelak mempunyai potensi membawa balik pingat sama ada menerusi atlet baru atau lama.

Beliau berharap semua pengurus pasukan akan mengambil berat tentang atlet dan jurulatih di bawah jagaan bagi memastikan mereka tidak mengalami sebarang gangguan sebelum berangkat ke Laos.

Pada temasya di Laos kelak, Malaysia akan mengambil bahagian dalam acara renang, terjun, memanah, olahraga, badminton, snuker dan biliard, tinju, lumba basikal, bola sepak, golf, judo, karate, silat, petanque, sepak takraw, menembak, ping pong, tenis, bola tampar, angkat berat dan wusyu. KOSMO

No comments:

Post a Comment