Thursday, November 12, 2009

'Ihsan hanya untuk Sukan Sea'

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) memberi peluang kedua kepada atlit taekwondo negara untuk beraksi di Sukan Sea XXV di Vientianne, bulan depan apabila menarik balik keputusan awal yang melarang persatuan daripada bertanding di ibu negara Laos itu.


Presidennya, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar berkata pemberian ihsan itu semata-mata untuk kepentingan atlit dan tidak mahu mematahkan semangat mereka selepas sudah melakukan persediaan hampir setahun untuk mengambil bahagian dalam temasya yang akan bermula dari 9 sehingga 18 Disember ini.

Bagaimanapun, Tunku Imran memberi amaran bahawa ihsan itu hanya untuk Sukan Sea sahaja dan selepas ini taekwondo tidak akan dipertimbangkan untuk Sukan Asia 2010 di Guangzhou selagi ia tidak dapat menyelesaikan kemelut dihadapinya.


“Lembaga eksekutif MOM yang bermesyuarat semalam (kelmarin) memutuskan untuk membenarkan atlit taekwondo mengambil bahagian pada Sukan Sea XXV di Laos,” kata Tunku Imran ketika dihubungi, semalam. “Ia sebagai menghargai persediaan yang sudah dilakukan atlit untuk temasya itu.

“MOM tidak mahu mematahkan semangat atlit dan mahu menjaga kepentingan mereka tetapi saya ingin menegaskan bahawa kelulusan untuk bertanding hanya membabitkan Sukan Sea di Laos saja.

“Selepas ini mereka tidak akan dipertimbangkan untuk Sukan Asia selagi kemelut yang dihadapi persatuan tidak diselesaikan. MOM tidak akan memberikan lagi peluang kedua. Lagipun mereka juga sudah terkeluar daripada Sukma (Sukan Malaysia) tahun depan.”

MOM sebelum ini mencicirkan nama taekwondo daripada senarai sukan yang akan bertanding di Laos selepas persatuan tampak gagal mencapai sepakat untuk menyelesai kemelut yang membelenggu mereka.

Mengenai kedudukan jawatankuasa ad-hoc taekwondo yang dipengerusikan beliau, Tuanku Imran berkata ia bermesyuarat - kemungkinan buat kali terakhir - Isnin ini.BH



No comments:

Post a Comment