Thursday, November 12, 2009

Jangan Bebankan Atlet - Dr Ramlan


KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Ketua kontinjen negara ke Sukan SEA Laos Disember ini, Datuk Dr Ramlan Aziz meminta semua pengurus pasukan supaya tidak memberi tekanan kepada atlet semata-mata untuk mencapai sasaran pingat yang dibuat sebelum ini.

Dr Ramlan, yang juga Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), berkata atlet perlu memberi sepenuh tumpuan kepada persiapan daripada segi aspek teknik, strategi dan semangat untuk memastikan bahawa mereka benar-benar bersedia menghadapi cabaran di Laos nanti.

"Sasaran pingat yang dibuat oleh pihak pentadbir sukan bukan masalah atlet dan atlet tidak perlu fikirkan perkara ini kerana ia bakal menjadi satu beban untuk mereka," katanya kepada pemberita ketika membuat tinjuaan persiapan atlet sepak takraw kebangsaan di Majlis Sukan Negara (MSN) Rabu.

Beliau berkata beban untuk mencapai sasaran pingat sebenarnya terletak pada bahu beliau sebagai ketua kontinjen negara, MSN, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan pengurus pasukan.

Ramlan berkata beliau yakin bahawa setiap atlet negara yang akan bertanding pada temasya dwitahunan itu kelak mempunyai potensi membawa balik pingat sama ada menerusi atlet baru atau lama.

Beliau berharap semua pengurus pasukan akan mengambil berat tentang atlet dan jurulatih di bawah jagaan bagi memastikan bahawa mereka tidak mengalami sebarang gangguan sebelum berangkat ke Laos.

"Saya minta sekiranya ada atlet atau jurulatih yang mempunyai masalah peribadi ataupun desakan kewangan, segera maklumkan perkara itu kepada pengurus pasukan agar kita dapat sama-sama selesaikan masalah tersebut," katanya.

Malaysia akan mengambil bahagian dalam acara renang, terjun, memanah, olahraga, badminton, snuker dan biliard, tinju, berbasikal, bola sepak, golf, judo, karate-do, silat, petanque, sepak takraw, menembak, ping pong, tenis, bola tampar, angkat berat dan wushu.

Malaysia tidak menyertai acara tenis ringan, gusti, muay thai dan timang bulu ayam.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment