Tuesday, November 17, 2009

Hanya terbaik, berminat keutamaan PSM ke Laos


KUALA LUMPUR - Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) tidak akan cuba memujuk dua pemain wanita, Siti Norhayati Abdullah dan Norhayati Ahmad untuk menyertai semula pasukan negara.

Kedua-duanya meninggalkan kem latihan di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Taman Keramat di sini secara mengejut, bulan lalu.

Setiausaha Agung PSM, Datuk Arshad Yahya menegaskan, pihaknya hanya mahu menggunakan khidmat mereka yang betul-betul berminat dan rela menerima apa sahaja cabaran dalam mewakili negara malah sekalipun sehingga terpaksa mengetepikan kepentingan peribadi.

"Jika tindakan mereka itu ada kaitannya dengan pemilihan pemain ke Sukan SEA Laos (bulan depan), PSM mahu menegaskan di sini bahawa kami hanya mahukan barisan yang terbaik dan tidak semestinya mengambil kira senioriti atau pengalaman seseorang.

"Lagipun tempat skuad wanita negara ke Laos terhad kepada lima orang sahaja (acara antara regu dan beregu), jadi sudah tentu ada yang terpaksa diketepikan," katanya yang turut menganggotai Jawatankuasa Pemilihan PSM, kepada Utusan Malaysia, semalam.

Empat lagi pemain wanita ke Sukan SEA ialah Norfarhana Ismail, Siti Norzubaidah Che Abd. Wahab, Noor Fairuz Azizan (tekong), Nurrashidah Abd. Rashid dan Rahilah Harun (apit kanan/pelibas) dengan Nurul Shahera Mukhtar diletakkan sebagai simpanan sekiranya berlaku sebarang kejadian di luar dugaan.

Arshad turut yakin bahawa Malaysia masih memiliki ramai pemain wanita yang berbakat bermain sepak takraw di luar kem latihan untuk diketengahkan biarpun dengan usia skuad negara sendiri yang baru mencecah dua tahun sejak dibentuk susulan Sukan Wanita Kebangsaan Kedua, Jun 2007.

"Kami akui satu ketika dulu, bukan mudah untuk membentuk dan melatih skuad wanita kebangsaan yang boleh bersaing di peringkat antarabangsa tetapi kini di Pulau Pinang sahaja sudah ada 20 orang yang dilatih bagi menghadapi Sukma (Sukan Malaysia) Melaka, tahun depan.

"Malah apabila berlangsungnya Sukma (Ke-13, Jun ini yang mempertandingkan antara regu dan beregu), PSM percaya lebih ramai bakat baru akan muncul dan memberikan banyak pilihan untuk jurulatih khususnya dalam menghadapi Sukan Asia Guangzhou (November 2010)," katanya.

Skuad wanita yang beraksi buat kali pertamanya dalam Sukan SEA sejak 1997, berpeluang cerah menyambar sebutir gangsa di Laos khususnya bagi acara beregu berikutan ketiadaan mengejut juara Sukan Asia 2006, Vietnam.

Pingat itu mampu dijamin sekiranya berjaya menduduki sekurang-kurangnya tempat keempat dalam persaingan liga sepusingan melibatkan lima negara termasuk Thailand, Indonesia, Myanmar dan Laos.

Malaysia tidak menyertai acara berpasukan dan gelung wanita tetapi diletakkan dalam Kumpulan B antara regu dengan Vietnam dan tuan rumah yang turut mampu menjaminnya sebutir gangsa jika hanya mara ke separuh akhir.-UTUSAN

No comments:

Post a Comment