Tuesday, November 17, 2009

Silat letak harapan bawa pulang 2 butir emas


RAUB - Pasukan silat negara menaruh harapan tinggi membawa pulang sekurang-kurangnya dua pingat emas pada Sukan SEA di Laos, bulan depan walaupun gagal berbuat demikian pada temasya yang sama di Thailand dua tahun lalu.

Pada temasya di Korat 2007, Malaysia hanya mampu merangkul satu pingat perak dan lima gangsa menerusi silat.

Menurut pengurus pasukan, Osman Nok, sasaran dua emas itu dianggap realistik berdasarkan latihan agresif yang dijalankan pesilat negara dalam kejohanan dwi tahunan yang berlangsung selama 11 hari bermula 9 Disember ini.

"Walaupun pasukan negara hanya merangkul satu perak dan lima gangsa pada kejohanan lalu, ia tidak menghalang semangat mereka untuk memenangi pingat emas dalam kejohanan tersebut," katanya ketika ditemui pemberita pada Karnival Keluarga Bukit Fraser di sini, semalam.

Sebagai persediaan awal katanya, beliau membawa seramai 16 pesilat termasuk enam pesilat wanitanya menjalani latihan intensif di Bukit Fraser sebagai persediaan menghadapi musim sejuk di negara tuan rumah itu.

"Bagi mencapai sasaran itu, kami menjalani latihan selama enam jam sehari di sini untuk menyesuaikan pesilat dengan keadaan cuaca di Laos selain tidak mendapat gangguan daripada pihak luar," ujarnya.

Menurut Osman, seramai enam jurulatih terlibat dalam sesi latihan di pusat peranginan itu yang berlangsung 17 hari bermula 9 November lalu hingga 25 November ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment