Tuesday, November 17, 2009

Skuad angkat berat harap ada kejutan selepas dihantar berguru di China

KUALA LUMPUR - Persekutuan Angkat Berat Malaysia tetap (PABM) mengharapkan keputusan istimewa daripada atletnya di Laos, Disember ini sebagai hasil daripada berguru selama dua bulan di China.

PABM hanya menetapkan sasaran sederhana, pingat tanpa sebarang warna tetapi pada masa yang sama menuntut agar sekurang-kurangnya ada rekod kebangsaan atau catatan peribadi terbaik dihasilkan oleh atlet negara sepanjang Temasya 9-18 Disember itu.

Malah, tanpa bersembunyi, badan angkat berat kebangsaan itu mengakui turut memasang impian untuk melihat kejutan daripada dilakukan skuad negara dengan membawa pulang emas buat kali pertama.

"Kami tidak berani letak sasaran tinggi pada Sukan SEA kerana Temasya ini turut disertai dua kuasa angkat berat dunia Thailand dan Indonesia tetapi kita sentiasa berusaha untuk mencari emas pertama Malaysia.

"Kami sebenarnya tetap mengimpikan kilauan emas dibawa pulang dari Laos walaupun sasaran sebenar kita cuma pingat tanpa sebarang warna, lagipun selepas dua bulan berlatih di China, sudah tentu kita mahu lihat peningkatan atlet negara.

"Sekalipun tidak dapat bawa pulang emas, harap-harap mereka ini mampu memperbaiki catatan peribadi atau memecahkan rekod baru kebangsaan,'' kata Setiausaha Kehormat PABM, Roslan Othman.

Menurut Roslan, sukar untuk menilai kedudukan sebenar atlet negara kerana tidak menyertai sebarang kejohanan sejak Mini Olimpik, Ogos lalu.

Katanya, atlet angkat berat Sukan SEA negara juga tidak mengambil bahagian pada Kejohanan Kebangsaan dan Kejohanan Komanwel di Pulau Pinang, Oktober lalu.

"Sepanjang di China, mereka cuma berlatih, jadi susah hendak ukur di manakah kedudukan mereka dalam masa terdekat ini, tetapi saya harap latihan intensif di luar negara akan meningkatkan prestasi atlet kita.

"Yang pasti, ketika ini Amirul Hamizan (Ibrahim) masih atlet terbaik kita. Mungkin, pengalaman dan pencapaian lepas dapat membantunya mencatat keputusan yang lebih di Laos,'' kata Roslan.

Amirul, 28, mula melakar nama selepas memenangi tiga pingat emas pada Sukan Komanwel 2002, tetapi dia terlepas temasya Melbourne 2006 kerana digantung dua tahun akibat positif dadah.

Selepas kembali dari penggantungan pada 2007, Amirul menunjukkan prestasi baik apabila layak ke Sukan Olimpik Beijing tetapi persiapan yang suntuk menyebabkan dia gagal mencatat keputusan yang baik

No comments:

Post a Comment