ahmadkhawari@bharian.com.my
ISMAIL Sabri Yaakob ketika ditemubual pemberita semalam. |
'Isu MPGA kini boleh dikatakan selesai, pihak bertelagah duduk semeja'
PADUAN usaha memburu gemilang harus jadi keutamaan, ketika sikap cenderung untuk lebih 'berpolitiking' tidak harus dibenarkan mengganggu sebaik sahaja tirai sukan negara buat tempoh 2009 disingkap, semalam.
Ingatan itu disuarakan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang turut mahu persatuan sukan kebangsaan menumpukan usaha lebih gigih menjelmakan lebih ramai bakat-bakat baru berpotensi.
"Ketika saya mengambil alih tugas Mac lalu, ada beberapa persatuan sukan kebangsaan diganggu kemelut masalah dalaman yang menjejaskan kelancaran operasi dan fokus kepada atlit.
"Tetapi Alhamdulillah, hampir semuanya sudah hampir diselesaikan. Kerana itu, saya berharap supaya politiking dalam persatuan sukan kebangsaan dalam dikurangkan pada 2009.
"Kita mahu usaha pembangunan bakat baru, terutama mengenalpasti bakat daripada peringkat akar umbi, diperhebatkan lagi," katanya ketika ditemui, kelmarin.
Antara permasalahan berjaya dileraikan, atau sekurang-kurangnya ditunjuk jalan ke arah penyelesaian, ialah membabitkan Persatuan Golf Profesional Malaysia (MPGA) dan isu kesahihan badan induk sukan taekwondo negara.
"Isu MPGA kini boleh dikatakan selesai ketika semua pihak bertelagah dalam sukan taekwondo sudahpun duduk semeja untuk bersetuju dengan penubuhan hanya satu badan induk yang membabitkan penyertaan semua pihak.
"Saya gembira dengan perkembangan ini dan berharap arena sukan negara pada 2009 tidak lagi diganggu masalah dalaman sebegini," katanya.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar, pula mengingatkan atlit negara terhadap cabaran menanti pada 2009, terutama menerusi lapan temasya pelbagai acara yang akan disertai nanti.
Antaranya termasuk Sukan Belia Asia di Singapura pada Julai, temasya Sukan Perpaduan Islam di Iran (Oktober) serta Sukan Sea Ke-25 di Laos yang dijadualkan daripada 9 sehingga 18 Disember depan.
"Saya juga memberi jaminan MOM akan terus memperjuangkan kepentingan atlit serta menekankan aspek pentadbiran baik, semangat kesukanan, penentangan terhadap penyalahgunaan dadah serta kecemerlangan dalam sukan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, kelmarin.
No comments:
Post a Comment