Saturday, January 03, 2009
lukmsal@bharian.com.my
'Sudah ada dasar penyertaan atlit Malaysia ke Sukan Sea'
SELEPAS menjadi sasaran kritikan dua pemimpin tertinggi sukan negara, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi tampil mempertahankan kenyataan dan tetap dengan pendirian bahawa atlit elit wajar beraksi pada Sukan Sea XXV di Laos, Disember ini.
Walaupun menganggap perdebatan mengenai penyertaan atlit ke Laos adalah isu kecil dan tidak mahu ia berpanjangan tetapi Kok Chi tidak dapat lari daripada memberi penjelasan supaya sebarang kekeliruan dapat diselesaikan, terutama sekali perkara yang membabitkan dasar.
Kok Chi turut berasa terkilan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada pembuat keputusan bersama-sama dengan MOM dan bukan memperkenalkan peraturan atau dasar baru.
"Sebenar sudah ada satu dasar mengenai penyertaan atlit di Sukan Sea," kata Kok Chi. "Iaitu Sukan Sea bukan bertujuan untuk pendedahan dan hanya dalam kes-kes tertentu penyertaan atlit untuk tujuan pendedahan dibenarkan. Dasar ini sudah diputuskan sejak lama dan turut dalam pengetahuan MSN.
"Justeru, saya tidak faham kenapa tampak macam seolah-olah seperti satu dasar baru diperkenalkan sedangkan dasar mengenai Sukan Sea sudah lama diputuskan.
"Tidak mengapalah. Cadangan mengenai penyertaan atlit pelapis untuk Sukan Sea Laos akan dibincangkan pada mesyuarat lembaga MOM untuk keputusan lanjut.
"Sebenarnya, jika kita lihat kepada senarai Sukan Sea Laos, tidak banyak dikeluarkan. Hanya bowling dan skuasy yang tiada tetapi sukan penting lain masih dipertandingkan dan tahapnya juga tinggi. Bagi sukan tradisional sudah tentu kita perlu memikirkan untuk menurunkan pasukan kerana kita sememangnya tidak mempunyai pasukan," kata Kok Chi.
Jumaat lalu, Kok Chi membidas cadangan MSN menghantar majoriti atlit pelapis ke Sukan Sea dengan atlit elit menumpu sepenuh perhatian kepada Sukan Asia dan Komanwel 2010.
Bagaimanapun, kenyataan Kok Chi itu kemudian menjadi sasaran kritikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan juga Ketua Pengarah MSN Datuk Zolkples Embong.
"Saya berharap semua pihak akan turut mendengar pandangan persatuan sukan kebangsaan dan membiarkan mereka membuat keputusan mengenai penyertaan atlit masing-masing," kata Kok Chi.
No comments:
Post a Comment