KUALA LUMPUR - Skuad elit negara mempunyai enam kejohanan antarabangsa sepanjang tahun ini sebagai gelanggang mengasah persediaan menjelang misi merebut sekurang-kurangnya sebutir pingat emas sepak takraw Sukan SEA di Laos, Disember depan.
Skuad bimbingan Haris Abdul Rahman ini akan membuka tirai menerusi Kejohanan Undangan Piala Raja Muda Perlis di Kangar pada 6 hingga 8 Februari ini dengan menghantar empat atau lima regunya bertanding.
Ketua Seranta Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Tengku Adnan Tengku Burhanudin berkata kepada Utusan Malaysia: "Regu dan pemain yang ke Kangar itu bakal dipilih daripada siri perlawanan ujian menentang pasukan negeri, ahli gabungan atau kelab tempatan."
Menurutnya, aksi skuad elit negara akan diikuti dengan Kejohanan Kota Bua Yai di Bua Yai, Thailand dari 21 hingga 25 Februari sebelum menyusul dengan Piala Datuk Bandar Hatyai dari 26 Februari hingga 2 Mac.
"Tiga lagi pertandingan antarabangsa sebagai persediaan kita ke Sukan SEA ialah Kejohanan Antara Kelab ASEAN (31 Mac hingga 6 April), Kejohanan Jemputan Dunia Piala Malaysia (25 hingga 31 Mei) dan Piala Raja Thai (6 hingga 12 Julai)," katanya.
Kata Tengku Adnan, ada di antara kejohanan itu yang mungkin dipinda tarikhnya bergantung kepada penganjur dan terdapat beberapa kejohanan kecil tahunan antarabangsa yang bakal diadakan oleh Vietnam dan China dengan turut mengundang Malaysia.
Lapan emas lelaki dan wanita dipertandingkan di Laos menerusi berpasukan, antara regu, beregu dan gelung tetapi setiap negara hanya dibenarkan menyertai tiga daripadanya bagi setiap kategori jantina.
Malaysia menarik diri daripada sepak takraw Sukan SEA Korat 2007 kerana membantah penggunaan bola baru bersalut getah setelah memenangi satu emas antara regu pada temasya 2005 di Filipina.
Sepanjang tahun lalu menyaksikan anak buah Haris sekadar menjuarai Kejohanan Antarabangsa Vietnam di Hanoi menerusi acara beregu dan antara regu (Disember).
No comments:
Post a Comment