
Zolkples yakin Sukan Sea XXV tidak akan beri masalah besar kepada kontinjen negara
TANGGAPAN pertama Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai persediaan Laos menganjurkan Sukan Sea XXV adalah positif dan seharusnya tidak akan mendatangkan masalah besar kepada kontinjen negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zolkples Embong yang mengetuai delegasi MSN ke Laos, berpuas hati dengan tahap persediaan Vientiane menganjurkan temasya itu Disember ini, yang membabitkan 21 sukan dengan beberapa gelanggang sudah hampir siap sepenuhnya.
“Nampak tiada masalah buat Laos untuk menganjurkan temasya itu,” kata Zolkples, selepas kembali kepada Kuala Lumpur kelmarin. “Nampak persiapan berjalan lancar termasuk beberapa gelanggang pertandingan yang hampir siap dibina.
“Apa yang menariknya, kebanyakan gelanggang pertandingan tidak terlalu berselerak dan berada dalam jarak berdekatan, berbanding dua tahun lalu di Korat apabila ada gelanggang pertandingan yang terletak begitu jauh antara satu sama lain.
“Selain itu, penginapan atlit juga tampak tidak ada masalah dengan tuan rumah membina blok-blok pangsapuri yang berpusat pada satu tempat dan bagi saya ini amat bersesuaian sekali kerana semua atlit daripada negara bertanding akan berada dalam satu kawasan,” katanya.
Dalam kunjungan itu, MSN turut melawat semua gelanggang pertandingan yang sedang rancak dalam pembinaan dan tuan rumah memberi jaminan semuanya akan siap menjelang Mei ini.
“Ini bagi memberikan mereka masa untuk menguji semua peralatan dan mencantikkan kawasan kompleks sukan sebelum temasya bermula penghujung tahun ini,” kata Zolkples.
Mengenai Sukan Perpaduan Islam ke-2 di Iran bermula 15 hingga 30 Oktober ini, Zolkples berkata MSN sudah menerima surat daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menguruskan pemilihan pasukan ke temasya yang akan mempertandingkan sejumlah 14 sukan.
“Saya sudah mengarahkan (Ketua Bahagian Latihan Atlit Elit) Ariffin (Ghani) untuk membuat penilaian mengenai temasya dan sudah tentu kita akan menghantar atlit,” kata Zolkples. “Perlu diingat beberapa sukan yang dipertandingkan seperti olahraga, karate-do, taekwondo dan angkat berat, tahapnya cukup tinggi.
“Dan jika persatuan menyatakan bahawa temasya ini adalah sebagai persediaan atlit elit, sudah pasti MSN akan menghantar atlit terbaik, termasuk juga atlit wanita."
Berita Harian
No comments:
Post a Comment