Thursday, June 4, 2015

Tak perlu tukar nama temasya



Kuala Lumpur: Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi menolak cadangan untuk menukar nama Sukan SEA kepada Sukan ASEAN seperti dicadangkan Datuk Naim Mohamad.

Katanya, Sukan SEA adalah bebas, tidak terikat atau mempunyai hubungan secara langsung dengan mana-mana entiti politik.

“Kita mengamalkan seperti yang dilakukan di peringkat Olimpik iaitu bebas daripada sebarang pengaruh politik, agama, jantina dan sebagainya. Sukan seharusnya badan bebas,” kata Kok Chi.

Beliau menjelaskan terdapat cadangan pada 2005 untuk menukar nama kepada Sukan ASEAN, namun selepas dibincang Persekutuan Sukan SEA (SGF) secara teliti, ia tidak diterima.

“Majoriti membantah kerana sukan seharusnya tiada sebarang hubungan dengan entiti politik. Sukan biasanya berdasarkan geografi atau rantau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Naim yang juga Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang mahu menukar nama berkenaan bagi mengukuhkan ikatan dalam kalangan negara ASEAN.

Naim berpandangan, sebarang acara seperti sukan, kebudayaan dan kesenian perlu berubah apabila komuniti dan ekonomi ASEAN ditubuhkan.

Naim berharap nama baru berkenaan akan dapat digunakan apabila temasya dwitahunan berkenaan berlangsung di Kuala Lumpur pada 2017.

“Beliau boleh membentangkan kepada MOM, namun saya rasa ia tidak akan dipanjangkan kepada SGF kerana perkara itu sudah diteliti pada 2005 dan kita antara yang menolaknya,” kata Kok Chi.

Temasya sukan di Asia Tenggara bermula dengan menggunakan nama Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) pada 1959 dengan penyertaan Malaysia, Thailand, Burma, Singapura, Vietnam Selatan dan Laos.

Selepas beberapa negara menyertai Sukan SEAP, nama temasya itu ditukar kepada Sukan SEA bermula di Kuala Lumpur pada 1977 dan kekal sehingga sekarang.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment