Friday, June 5, 2015

Skuad Lebuh Raya Diingat Tidak Ulangi Kesilapan Di Nay Pyi Taw

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Pelumba basikal lebuh raya negara di Sukan SEA Singapura diingatkan supaya merencana strategi dengan baik bagi mengelak berulangnya kesilapan pada temasya sama di Nay Pyi Taw, Myanmar dua tahun lepas.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata beliau yakin dengan kredibiliti barisan pelumba negara yang diwakili pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) untuk merealisasikan sekurang-kurangnya satu pingat emas pada temasya kali ini.

Beliau berkata penampilan pelumba tersohor di Asia Tenggara seperti Anuar Manan, Mohd Adiq Husainie Othman, Mohd Harrif dan Mohd Zamri Salleh yang sudah serasi bersama dalam satu pasukan, dilihat mampu mengembalikan kegemilangan Malaysia dalam sukan berbasikal lebuh raya itu.

"Kita hampir meraih pingat emas di Nay Pyi Taw pada Sukan SEA 2013. Tapi kesilapan percaturan taktikal pada saat akhir menghancurkan impian emas Malaysia.

"Harapan saya agar jangan diulangi kesilapan seperti di Nay Pyi Taw. Inilah pentas terbaik untuk Malaysia kembali disegani sebagai kuasa besar berbasikal lebuh raya di Asia Tenggara.

"Dengan laluan yang rata dan langsung tiada berbukit di Singapura, saya percaya Anuar atau Mohd Harrif boleh menguasai henjutan ke garisan penamat," katanya dalam kenyataan Khamis.

Pada Sukan SEA di Singapura, PKBM memutuskan untuk menghantar pelumba daripada pasukan TSG untuk mewakili negara bersama-sama dengan mekanik serta jurulatih daripada pasukan yang sama.

"Hanya pengurus pasukan daripada PKBM iaitu Omar Saad. Bagaimanapun, saya telah memberi peringatan kepada Omar agar memberi kebebasan 100 peratus kepada jurulatih daripada TSG," katanya.

Untuk rekod, skuad lebuh raya Malaysia meraih emas pada Sukan SEA 1995 di Thailand, Indonesia (1997), Brunei (1999), Malaysia (2001), Vietnam (2003) dan terakhir di Filipina pada 2005.

Sumber:BERNAMA

No comments:

Post a Comment