Friday, June 5, 2015

Skuad Bola Jaring Negara Tempah Tiket Awal Ke Pusingan Separuh Akhir

SINGAPURA, 4 Jun (Bernama) -- Skuad bola jaring negara mengekalkan rekod tanpa kalah setelah menewaskan Thailand 71-32 bagi melengkapkan perlawanan liga peringkat kumpulan pada Sukan SEA ke-28 di Arena OCBC di sini Khamis.

Malaysia memperoleh bekalan selesa ke separuh akhir Sabtu ini dengan mengumpul jaringan terbesar iaitu 384 mata untuk mengatasi lima pasukan lain.

Pada pertemuan dengan Thailand, penjaring skuad negara, Norashikin Kamalzaman terus cemerlang sebagai wirawati pasukan apabila berjaya menjaringkan 41 mata.

Skuad bola jaring negara kini mengumpul sembilan mata daripada empat kemenangan dan satu seri dalam perlawanan peringkat liga.

"Allhamduillah selepas berjaya menamatkan perlawanan pusingan awal kita telah pun dikira layak ke separuh akhir apabila berjaya mengatasi pasukan lain," katanya jurulatih Aminah Saari kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Berikutan kemenangan itu, beliau yakin anak didiknya mampu untuk mara ke final dan seterusnya mengalahkan musuh tradisi Singapura.

"Perlawanan akhir peringkat kumpulan membabitkan Singapura dan Myanmar pada petang ini akan menentukan sama ada kita atau pasukan tuan rumah akan menduduki tempat pertama," katanya.

Katanya walau apapun keputusan petang ini, Malaysia tetap layak ke separuh akhir dan ianya memberi kelebihan kepada pasukan negara untuk terus beraksi cemerlang pada perlawanan berikutnya.

"Jika Singapura tewas kepada Myanmar maka kita akan muncul juara peringkat pertama dan sudah pasti secara psikologinya kita telah berjaya tewaskan pasukan tuan rumah,"katanya.

Sumber: BERNAMA

No comments:

Post a Comment