AKSI atlet negara, Tan Ing Yueh ketika melakukan disiplin melombol pada acara artistik berpasukan wanita pada Sukan SEA 2015 di Singapura semalam. Aksi tersebut dirakam oleh jurugambar Kosmo!, Abdul Razak Latif dengan menggunakan teknik ‘multiple exposure’.
SINGAPURA – Skuad gimnastik artistik negara berjaya menepati sasaran apabila meraih pingat emas dalam acara berpasukan pada Sukan SEA 2015 yang berlangsung di Dewan Sukan Bishan semalam.
Malaysia yang membariskan Farah Ann Abdul Hadi (ketua pasukan), Siti Nur Bahirah Ahmad, Tracie Ang, Nur Eli Ellina Azmi, Lavinia Michelle Jayadev dan Tan Ing Yueh, mengumpul 206.200 mata bagi memusnahkan hajat Singapura yang sekadar meraih 202.000 mata bagi pingat perak dan Filipina mendapat gangsa dengan pungutan 191.400 mata.
Lebih manis, kejayaan tersebut merupakan hadiah paling bermakna buat jurulatih skuad tersebut, Nataliya Sinkova yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-49 semalam dan menganggapnya sebagai hadiah paling bermakna.
Menurut Farah, dia dan rakan-rakan sepasukan sememangnya meletakkan sasaran untuk beraksi dengan baik seterusnya meraih pingat emas dalam acara tersebut sebagai hadiah buat jurulatih mereka yang telah membimbing mereka untuk cemerlang dalam karier.
“Emas ini cukup istimewa kerana kami mahu menghadiahkannya kepada jurulatih yang menyambut hari lahir pada hari ini (semalam) dan kemenangan ini membuktikan kami pasukan yang cukup hebat.
“Saya benar-benar rasa gembira dan mahu berterima kasih kepada jurulatih, ayah saya yang merupakan pengurus pasukan. Rasa gembira yang tidak terkata kerana telah sekian lama tidak memenangi pingat emas,” katanya.
Kejayaan kakaknya, Katrina Ann yang sebelum ini menjadi pemenang emas pertama negara dalam acara renang berirama kategori duet telah menjadi inspirasi buat Farah biarpun merasai tekanan kerana skuad negara sudah lama tidak memenanginya.
“Kami bukannya bersaing sesama sendiri, strategi kami ialah menyokong antara satu sama lain dan akhirnya berjaya memenangi pingat emas secara berpasukan, ia satu kebanggaan kerana mampu menamatkan kemarau emas semenjak tahun 2001.
“Pada tahun 2011, kami tidak beraksi untuk kategori berpasukan, manakala dua tahun lalu di Myanmar, acara ini tidak dipertandingkan,” katanya.
Bergelar jurulatih semenjak tahun 1995, Nataliya yang berasal dari Ukraine berasa seperti nikmat yang tidak terhingga kerana penantian 14 tahun berakhir sejak 2001 dan ia membuktikan Malaysia masih belum ketandusan atlet berbakat dalam sukan gimnastik artistik.
Sumber: KOSMO
No comments:
Post a Comment