Monday, June 8, 2015

Kim Swee tetap mahukan kemenangan


KIM SWEE tetap mahukan anak-anak buahnya meraih kemenangan pada aksi menentang Brunei hari ini.

SINGAPURA – Biarpun sekadar pelengkap jadual kerana peluang untuk layak ke separuh akhir telah pun tertutup, jurulatih pasukan bola sepak Sukan SEA negara, Datuk Ong Kim Swee tetap mahu para pemainnya fokus pada aksi menentang Brunei di Stadium Bishan malam ini.

Dua perlawanan terakhir melibatkan skuad negara menentang Brunei dan Laos pada Khamis ini seakan tidak memberi sebarang makna ke­rana cabaran mereka telah berakhir sebaik tewas kepada Thailand 0-1 pada perlawanan ketiga Khamis lalu dan sebelum itu tewas mengejut kepada Vietnam 1-5.

Tiga mata yang berjaya dikutip dalam tiga perlawanan me­nyak­sikan prestasi skuad bimbingan Ong Kim Swee kali ini menyamai prestasi yang dilakukan skuad negara pada Sukan SEA di Korat pada 2007 yang juga terpaksa pulang awal.

Bagaimanapun, Kim Swee yang membayangkan akan me­ninggalkan skuad Harimau Muda selepas tugasan kali ini, masih menganggap misinya belum selesai dan berharap para pemain mampu memberi tumpuan penuh pada baki dua perlawanan tersebut.

“Walaupun peluang sudah tertutup tapi ada tugas untuk di­selesaikan. Saya tak mahu pemain ambil mudah walaupun Brunei tewas dalam semua perlawanan setakat ini.

“Saya harap kita dapat capai matlamat untuk memburu kemenangan,” katanya.

Perjuangan skuad negara kali ini seakan serba tidak menjadi apabila mereka dipalit insiden kontroversi pemain tengah, Muhammad Nazmi Faiz Mansor yang digantung enam perlawanan kerana meludah pemain Timor Leste seterusnya dibelasah Vietnam ketika mereka mengharapkan kemenangan dan tewas 0-1 kepada Thailand dalam misi ‘wajib’ menang itu.

Selain tiga mata penuh untuk mengubat kedukaan, Kim Swee membayangkan akan merombak kese­belasan utamanya dan mahu para pemain yang diberi peluang tidak mensia-siakan kesempatan itu.

“Kemungkinan besar saya akan menurunkan pemain yang belum beraksi dan jarang beraksi esok (hari ini).

“Saya mahu pemain-pemain menunjukkan prestasi baik khususnya dari corak permainan kerana ramai pemain dalam skuad ini masih layak beraksi pada Sukan SEA akan datang,” katanya.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment