Saturday, June 13, 2015

Si cilik kental

Hujan dan acara ditangguh tidak menghalang atlet cilik negara, Aaliyah Yoong Hanifah menepati sasaran mempertahankan emas acara tricks wanita ski air di Bedok Reservoir.

Aaliyah mengutip 4,850 mata, mengatasi wakil Indonesia, Nur Alimah Prambodo (2,930) di tempat kedua dan atlet tuan rumah, Sabelle Kee (2,620) sekadar meraih gangsa.

Atlet berusia 11 tahun itu lega dapat mempertahankan emas dalam keadaan cuaca hujan dan berangin tatkala sebelum itu acara berkenaan ditangguh selama sejam.

“Saya mampu melakukan lebih baik tetapi secara keseluruhan saya berpuas hati dengan prestasi hari ini (semalam),” kata Aaliyah.

Jelasnya, ia memang sukar untuk melepasi dua halangan dalam keadaan air bergelora tetapi gembira selepas berjaya mengatasinya.

“Saya berlatih dengan gigih untuk temasya ini dan bapa saya, Hanifah Yoong berkata, saya sudah mencapai tahap atlet senior dan merasakan saya sudah mempunyai pengalaman luas pada peringkat ini,” katanya.

Sebelum ini, Aaliyah menjadi atlet termuda memenangi emas di Sukan SEA 2011 Indonesia dalam acara yang sama pada usia 8 tahun.

Persekutuan Ski Air dan Wakeboard Malaysia (MWWF) meletakkan sasaran kepada Aaliyah untuk turut meraih emas dalam acara wanita keseluruhan.

Bagi acara tricks lelaki semalam, adiknya, Aideen, 8, meraih gangsa dengan pungutan 3,180 mata dan abang tiri mereka, Alex Yoong yang juga bekas pemandu Formula Satu (F1) menduduki tempat kelima (1,200).

Indonesia meraih kedudukan 1-2 apabila Febrianto menggondol emas dengan pungutan 4,280 mata sementara, Dimas Ridho Suprihono perak (4,130).

Dalam pada itu, Cheah Hsu Ann gagal meraih sebarang pingat untuk acara wakeboard wanita apabia menduduki tempat keempat, hanya kurang 0.67 mata di belakang pemenang pingat gangsa, Jawn Maiquel Selga dari Filipina.

Emas milik Sasha Christian dari Singapura (59.00), sementara atlet Indonesia, Galuh Mutiara Maulinda kedua (43.11).

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment