Saturday, June 13, 2015

Hoki wanita kekal jaguh Asia Tenggara

Malaysia terus membuktikan jagoan hoki wanita Asia Tenggara apabila mempertahankan pingat emas Sukan SEA selepas menumpaskan Thailand 3-1 pada perlawanan akhir semalam.

Pasukan yang terkenal dengan gelaran The Blue Tigers itu menggamatkan Stadium Hoki Sengkang apabila melakar hatrik emas.

Begaimanapun, kejayaan itu perlu dibayar dengan harga mahal apabila jurulatih Mohd Nasihin Nubli sendiri mengakui terpaksa mengubah strategi gara-gara pengadilan yang didakwa berat sebelah dan ‘kebisingan’ pengendali pihak lawan.

“Kami datang ke sini untuk membawa pulang pingat emas, tetapi terpaksa bersabar dan menyesuaikan diri dengan keputusan berat sebelah,” katanya selepas perlawanan tamat semalam.

Bekas penjaga gol negara itu mengakui situasi berkenaan sebenarnya menjejaskan rentak permainan mereka.

“Jurulatih lawan yang menjerit-jerit di tepi padang menjadikan ia lebih susah, namun anak buah saya kekal tenang dan tidak mempedulikan semua itu.

“Kejayaan ini paling bermakna berbanding dua edisi terdahulu kerana saingan kali ini sengit. Kami membuktikan kami berada dalam kelas tersendiri,” kata Nasihin.

Tiga gol skuad hoki wanita itu dijaringkan Hanis Nadiah Onn m-37, Siti Shahida Saad (45) dan Nurul Nabiha Mansur (49), di mana semuanya menerusi jaringan padang.

Gol sagu hati Thailand dihasilkan Wongkeaw Sirikwan melalui pukulan sudut penalti m-51.

Dalam perkembangan lain, skuad hoki lelaki negara dijangka tidak berdepan masalah untuk mengikut jejak barisan skuad wanita memenangi pingat emas menjelang aksi final bertemu Singapura hari ini.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment