Tuesday, June 9, 2015

‘Saya boleh buat...’

“Sebelum turun beraksi di final tadi, saya sudah yakin. Saya katakan kepada diri sendiri, saya boleh buat...saya boleh buat…saya boleh buat,” kata atlet petanque negara Muhd Hafizuddin Mat Daud yang menamatkan penantian 14 tahun negara untuk memenangi pingat emas semalam.

Jelas apa yang disuarakan atlet berusia 22 tahun itu menggambarkan betapa kuat dia menanam tekad untuk merangkul pingat emas dalam acara individu lelaki di gelanggang The Padang.

Hafizuddin yang mara ke final dengan mengalahkan peserta Laos Keokannika Phoudthala 13-3 pada separuh akhir kelmarin, sekali lagi mempamerkan ketenangan untuk mengatasi Thong Chhoeun dari Kemboja 13-6 bagi meraih emas pertama sejak sukan itu dipertandingkan di Kuala Lumpur 2001.

“Saya tidak pernah bertemu dengannya (Chhoeun) kerana ini kejohanan pertama saya dalam acara individu. Sebelum ini saya hanya menyertai acara double dan triple tapi saya tetap yakin untuk mendapat emas,” katanya yang tampil buat kali ketiga selepas Indonesia 2011 dan Myanmar 2013.

Gangsa acara individu lelaki dikongsi bersama Phoudthala dan Ngo Ron dari Vietnam.

Kejayaan Hafizuddin dari Kota Bharu, Kelantan itu memperbaiki rekod terbaik negara pada temasya dwi tahunan ini selepas Mohd Firdaus Adli meraih perak di Manila 2005.

Ia juga pencapaian terbaiknya selepas meraih gangsa dalam acara double di Palembang 2011 dan gangsa triple di Myanmar 2013.

Bagaimanapun sejarah yang dicipta Hafizuddin bukan mudah apatah lagi baru beralih acara ke kategori individu tahun lalu.

“Jurulatih (Syed Ali Syed Akil) memberikan kepercayaan kepada saya untuk bertanding dalam acara individu. Saya diberikan peluang beraksi di Kejohanan Piala Dunia di Perancis Januari lalu tapi kalah di pusingan kedua.

“Saya percaya pingat ini akan menyuntik semangat rakan lain,” katanya yang bakal beraksi acara triple lelaki pada 14 Jun ini.

Dalam acara triple, Hafizuddin akan bergandingan dengan Saiful Bahri Musmin dan Mohammad Hakem Mahmad Saberi.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment