Tuesday, June 9, 2015

Jinq En kuak emas

Renang hampir pulang dengan tangan kosong semalam namun secara tiba-tiba Phee Jinq En menceriakan kontinjen negara dengan meraih emas acara 100 meter kuak dada wanita di Pusat Akuatik OCBC.

Perenang berusia 17 tahun itu bukan saja meraih emas tetapi mencatat catatan peribadi terbaik satu minit 10.47 saat, menumpaskan dua wakil tuan rumah, Roanne Ho (1:11.78s) dan Samantha Yeo (1:11.87s) yang masing-masing meraih perak serta gangsa.

Catatan peribadi terbaik Jinq En sebelum ini ialah 1:10.75s yang dilakukan di Kejohanan Renang Terbuka Malaysia 2015 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil Mac lalu.

Penyandang juara, Christina Loh pula hanya menduduki tempat kelima dengan 1:12.16s.

Menurut Jinq En, dia tidak sangka menyumbang emas dalam penampilan sulungnya di Sukan SEA dan berasa perjalanan kariernya begitu pantas kerana baru setahun menyertai pasukan kebangsaan.

“Sebaik menamatkan renangan saya toleh ke belakang dan tidak percaya menduduki tempat pertama. Saya berasa sangat gembira memenangi acara yang sentiasa didominasi Malaysia,” kata atlet kelahiran Subang Jaya itu.

Ditanya apakah rahsia sehingga membolehkannya melakukan kejutan di sini, Jinq En berkata, dia hanya mahu mencuba yang terbaik untuk memenangi emas untuk negara dan gembira melihat catatannya di papan markah.

“Segala usaha keras saya sebelum ini mendapat habuan, tambahan pula ia catatan peribadi terbaik saya.

“Rabu ini (esok) saya akan mengambil bahagian dalam acara 50m kuak dada dan tidak mahu meletakkan sebarang harapan seperti hari ini, hanya mahu memperbaiki catatan peribadi terbaik,” katanya.

Jinq En mula terbabit dalam acara renang sejak berusia 8 tahun dan menjadikan pemenang pingat emas Kejohanan Dunia 2013 Barcelona, Ruta Meilutyte dari Lithuania sebagai idolanya.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment