Tiada kejutan yang mampu dilakukan skuad ragbi negara apabila meraih pingat perak selepas tewas 7-24 kepada pasukan pilihan Filipina dalam aksi final tujuh sebelah di Stadium Choa Chu Kang semalam.
Selepas kali terakhir Malaysia menang perak pada Sukan SEA Chiangmai 1995 pertembungan akhir dengan Filipina itu peluang terbaik untuk memperbaiki pencapaian.
Bagaimanapun dengan hanya membariskan ramai atlet muda, skuad negara tidak berupaya untuk menghalang Filipina yang diperkuatkan dengan lapan pemain profesional yang beraksi dengan kelab Jepun dan Australia.
“Bagi saya pingat perak ini satu pencapaian baik buat pasukan kerana kami hanya meletakkan sasaran empat pasukan terbaik saja.
“Fizikal bukan masalah kepada pemain kita, mereka boleh beri saingan cuma mata yang diperoleh Filipina adalah atas kesilapan pemain kita sendiri,” kata ketua jurulatih negara Nik Safuan Ismadee Nik Man.
Menurut Nik Safuan, mereka mampu memberikan aksi lebih baik jika diberi lebih masa untuk melakukan persiapan.
“Kami hanya melakukan persiapan singkat selama 47 hari kerana sukar untuk mendapatkan pelepasan pemain dari kelab dan universiti. Ada pemain yang tidak dapat bersama atas sebab komitmen dan ini pasukan yang terbaik berjaya dibentuk,” jelasnya.
Sementara itu skuad wanita negara juga mengalami nasib sama tewas 0-22 kepada Filipina dalam penentuan gangsa.
Sumber: Harian Metro
No comments:
Post a Comment