Emas untuk jurulatih. skuad gimnastik artistik wanita negara menghadiahkan pingat yang dimenangi mereka kepada Nataliya Sinkova yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-49 semalam.
Malaysia yang dibarisi Farah Ann Abdul Hadi (ketua pasukan), Siti Nur Bahirah Ahmad, Tracie Ang, Nur Eli Ellina Azmi, Lavinia Michelle Jayadev dan Tan Ing Yueh berjaya meraih 206.200 mata untuk mengetepikan Singapura di tempat kedua (202.500) dan gangsa milik Filipina (191.400).
Menurut Farah Ann, mereka memang meletakkan sasaran untuk memenangi emas dalam acara gimnastik berpasukan wanita dan lebih membanggakan semalam ialah hari jadi jurulatih mereka, Nataliya.
“Sekarang kami bukan saja berjaya memenangi emas tapi akan sama-sama meraikan ulang tahun jurulatih. Dalam masa yang sama ini adalah sebuah pasukan hebat,” kata adik kepada pemenang pingat emas pertama negara di Singapura, Katrina Ann (renang berirama).
Jelasnya, selepas melihat kakaknya itu memenangi emas keenam sepanjang temasya Sukan SEA yang disertai, dia berasa bangga akhirnya berjaya mengikut jejak langkah Katrina walaupun ini adalah emas pertama buatnya.
“Akhirnya kami memenangi emas dalam satu temasya yang sama, kami bukannya bersaing tapi saling memberi sokongan antara satu sama lain. Saya juga bangga akhirnya kami berjaya menamatkan kemarau emas selepas kali terakhir di Sukan SEA 2001 Kuala Lumpur.
“Memang sangat tertekan untuk menamatkan kemarau ini selepas Sukan SEA 2013 Myanmar ia tidak dipertandingkan, manakala 2011 Indonesia kami tidak beraksi dalam acara berpasukan,” katanya.
Sementara itu, Nataliya yang menjadi jurulatih sejak 1995 berkata, kali terakhir beliau merasai nikmat meraih emas ialah pada 2001 ketika melatih Au Li Yen, Chang Swee Ting, Chang Zhi We, Nurul Fatiha Abdul Hamid dan Yap Yen Yin.
“Pada 2001 Nurul Fatiha masih aktif beraksi untuk Malaysia sekarang selepas 14 tahun beliau sudah menjadi pengadil untuk acara hari ini (semalam). Saya percaya dengan keupayaan pasukan ini dan harap mereka berjaya untuk acara individu,” kata jurulatih kelahiran Ukraine itu.
Dalam pada itu Nur Eli Ellina berkata, walaupun dia mengalami kecederaan tetapi tetap meneruskan aksi demi pasukan dan menghadiahkan emas itu untuk ibu dan bapanya.
Acara gimnastik artistik wanita akan diteruskan hari ini bagi acara individu di Dewan Sukan Bishan, Singapura.
Sumber: Harian Metro
No comments:
Post a Comment