Thursday, June 11, 2015

Malaysia raih Emas Dan Gangsa dalam acara boling wanita

SINGAPURA, 10 Jun (Bernama) -- Sin Li Jane dan Esther Cheah menghadiahkan pingat emas kedua negara dalam acara boling pada Sukan SEA ke-28 dengan menjuarai acara beregu wanita di Orchard Country Club, di sini hari ini.

Pasangan negara itu berjaya mengumpul 2,651 jatuhan pin manakala pingat perak menjadi milik gandingan Indonesia, Sharon Limansantoso dan Tannya Roumimper yang mengutip 2,545 jatuhan pin.

Pemain berpengalaman negara, Shalin Zulkifli dan Syaidatul Afifah Badrul, yang membuat penampilan sulung pada temasya itu, menyumbang pingat gangsa dalam acara tersebut dengan mengumpul 2,524 jatuhan pin.

"Kami tidak tahu bahawa kami sedang mendahului saingan dengan kelebihan 70 atau 80 pin selepas permainan kelima sehingga jurulatih (Holloway Cheah) memaklumkan kepada kami. Beliau beritahu kami supaya bertenang dan meneruskan saingan.

"Saya amat berterima kasih kepada Li Jane kerana mencetuskan momentum dengan lancar. Saya mula bangkit pada tiga permainan terakhir sebelum kami melakukan balingan baik pada permainan terakhir," kata Esther.

Selepas dua hari bersaing, Esther mendahului saingan dalam acara all-events dengan 2,626 jatuhan pin manakala Li Jane di tanga ketiga dengan 2,559 jatuhan pin.

Sementara itu, Li Jane begitu teruja untuk merangkul emas pertama buat dirinya selepas pingat perak dan gangsa pada edisi 2011 di Indonesia.

"Ia sungguh bermakna selepas menunggu selama empat tahun untuk pingat emas ini. Ia menjadi rangsangan untuk saya dalam mengharungi baki acara-acara dan berharap untuk mencapai kejayaan baik sekali lagi," kata Li Jane.

Esok, mereka akan bersaing dalam acara trio.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment