Saturday, June 13, 2015

Kim Swee terima kegagalan

Tidak seperti empat tahun lalu, tiada sambutan wira menanti skuad bawah 23 tahun negara (B-23) apabila mereka tiba di tanah air semalam selepas tersingkir awal daripada saingan Sukan SEA kali ini.

Malaysia tidak pernah gagal ke separuh akhir sejak Sukan SEA Korat 2007 malah muncul juara di Laos 2009 dan Indonesia 2011 namun di Singapura mereka terpaksa pulang awal.

Ramai yang menunding jari kepada Datuk Ong Kim Swee atas kegagalan itu termasuk ketika dimalukan Vietnam dengan kekalahan 1-5.

Pengendali itu tetap tenang untuk memikul tanggung jawab atas apa yang berlaku biarpun dikritik hebat termasuk oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sendiri Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dengan menganggap ia sesuatu yang memalukan.

“Sudah pasti kita gagal dalam misi kita. Kita kena lihat semula apa yang kita lakukan sebelum ini. Saya akan sediakan laporan mengenai prestasi pasukan kepada FAM,” katanya.

Skuad negara menamatkan kempen Kumpulan B di tangga ketiga dengan sembilan mata namun belum cukup untuk memintas kedudukan Thailand dan Vietnam yang menewaskan mereka.

Ada pihak melihat malang pasukan ini sudah boleh ‘dihidu’ selepas insiden kontroversi tonggak tengah Muhammad Nazmi Faiz Mansor digantung enam perlawanan kerana meludah pemain Timor Leste tapi hakikatnya ramai yang seakan ‘membutakan mata’ melihat kepincangan perancangan pasukan.

Kontroversi sebenarnya bermula apabila pasukan ini ibarat mempunyai dua jurulatih selepas tugas mengendalikan pasukan diserahkan kepada Razip Ismail bagi mengharungi kelayakan AFC B-23 Mac lalu dan saingan Liga Singapura sedangkan ia membabitkan pemain yang sama.

Kim Swee hanya dapat mengumpul kesemua pemainnya sebulan sebelum kejohanan dan sempat mengadakan satu perlawanan persahabatan antarabangsa dengan Indonesia sebelum berangkat ke Singapura.

Pengendali berusia 44 tahun itu didakwa tidak senang dengan perancangan itu namun atas dasar mahu terus berbakti bersama negara serta desakan kepimpinan FAM, beliau tetap meneruskan kontraknya sehingga tahun ini.

“Dari awal tahun lagi saya nak keluar dari FAM tapi tak dibenarkan, apabila saya tidak dibenarkan saya ambil tanggung jawab atas apa yang berlaku di Sukan SEA. Saya tak akan lari, terpulang kepada FAM nak buat keputusan apa.

“Saya tidak mahu beri alasan tapi lihat bagaimana perancangan kita pada 2011 dan ke Myanmar, berapa banyak perlawanan antarabangsa tapi kali ini kita main dengan siapa sebelum ke Sukan SEA?

“Jika kita lihat Thailand, hanya seorang-dua pemain yang beraksi dalam Liga Divisyen Satu manakala yang lain bermain secara tetap di Liga Super mereka sama seperti pemain Vietnam.

“Berbeza dengan pemain yang dapat saya kumpulkan kali ini hanyalah pemain simpanan dan mengalami kecederaan kecuali pemain Harimau Muda B yang beraksi dalam Liga Singapura,” katanya.

Ketika ditanya adakah beliau masih mahu meneruskan tugas itu sekiranya masih diberi kepercayaan oleh FAM, Kim Swee berkata : “Apa yang mustahak tak kira siapa yang akan membimbing pasukan ini untuk menghadapi Sukan SEA dua tahun lagi, kena bersedia dari sekarang. Kalau sebulan sebelum Sukan SEA bermula memang susah.

Sumber:Harian Metro

No comments:

Post a Comment