Friday, June 5, 2015

Kempunan lagi!


Penantian 24 tahun untuk acara pingpong meraih emas belum berakhir apabila pemain perseorangan wanita Ng Sock Khim tumpas pada perlawanan akhir di Stadium Tertutup Singapura semalam.

Sock Khim terpaksa akur dengan kehebatan pemain Thailand Suthasini Sawettabut yang menang 11-4, 5-11, 8-11, 11-9, 6-11, 11-9, 11-4.

Kali terakhir pingpong menghadiahkan emas untuk negara pada Sukan SEA 1991 Filipina melalui beregu wanita, Phua Bee Sim-Chong Choi Thing.

Pada perlawanan sebelah petang Sock Khim menceriakan kontinjen negara apabila memenangi saingan separuh akhir dengan menumpaskan atlet Vietnam, Nguyen Thi Nga 11-8, 14-12, 11-7, 11-4.

Suthasini pula mengalahkan seorang lagi pemain Vietnam, Mai Hoang My Trang 16-18, 10-12, 9-11, 13-11, 11-9, 11-9.

Menurut Sock Khim, kegopohan ketika set penentuan menjerat dirinya sendiri tatkala pemain lawan pula langsung tidak melakukan sebarang kesilapan.

“Saya terlalu cepat ingin memukul bola dan menamatkan perlawanan. Ia menyebabkan pergerakan saya sedikit tersasar,” kata pemain kelahiran Kedah itu.

Sock Khim, 31, mengakui perasaannya bercampur-baur apabila kalah perlawanan akhir semalam selepas tidak mewakili negara pada Sukan SEA 2009 (Laos), 2011 (Indonesia) dan 2013 (Myanmar).

“Saya berasa gembira dan sedih. Gembira kerana mara ke akhir selepas tiga edisi Sukan SEA sebelum ini saya tidak beraksi.

“Sedih pula kerana terlepas peluang menamatkan kemarau lebih 20 tahun Malaysia gagal meraih emas Sukan SEA walaupun berpeluang melakukannya hari ini (semalam),” katanya.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment