Friday, June 5, 2015

Impi 1 emas

Selepas gagal meraih kilauan pingat emas di empat temasya lalu, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) percaya impian meraih sebutir emas akan tercapai tahun ini.

Presiden PKBM Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, penampilan semua pelumba profesional sepenuh masa daripada pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) membuktikan keazaman Malaysia untuk meraih sekurang-kurangnya sebutir pingat emas.

“Pelumba seperti Anuar Manan, Mohd Harrif Salleh, Mohd Zamri Salleh dan Mohd Adiq Hussainie Othman sangat tersohor dan memiliki kredibiliti besar di peringkat Asia Tenggara,” katanya.

Jelas Abu Samah, dengan laluan rata dan tiada kawasan berbukit di Singapura, Anuar atau Harrif boleh menguasai henjutan ke garisan penamat.

“Dua nama ini sangat terkenal di seluruh Asia. Semua pelumba kali ini dari TSG.

“Jadi saya percaya mereka mempunyai keserasian jitu. Malah, jurulatih dan mekanik juga daripada TSG. Hanya pengurus pasukan Omar Saad daripada PKBM,” katanya.

Bagaimanapun, Abu Samah memberi peringatan kepada Omar agar memberi kebebasan 100 peratus kepada jurulatih TSG, Sebastien Duclos.

Abu Samah yang juga Pengerusi Teknikal bagi acara berbasikal di temasya ini menjelaskan berdasarkan pengalamannya laluan kali ini sangat memihak kepada pelumba Malaysia untuk meraih emas.

“Saya tidak mengimpikan dua atau tiga, cukup sekadar satu emas. Ini sudah memadai untuk menebus kehampaan empat temasya lalu.

“Kita hampir meraih emas di Nay Pyi Taw dua tahun lalu. Tapi kesilapan percaturan taktikal pada saat terakhir menghancurkan impian itu,” katanya.

Sumber: Harian Metro


No comments:

Post a Comment