Sunday, June 7, 2015

Gimnastik Artistik Wanita Raih Emas Sempena Hari Jadi Jurulatih

SINGAPURA, 7 Jun (Bernama) -- Skuad gimnastik artistik wanita negara mengulangi kejayaan 14 tahun lepas dengan meraih pingat emas dalam acara berpasukan pada Sukan SEA ke-28 di Dewan Sukan Bishan, di sini, hari ini.

Lebih manis lagi kejayaan itu merupakan hadiah hari jadi jurulatih Nataliya Sinkova ke-49 yang telah memimpin skuad negara hampir 20 tahun.

Pasukan negara yang dibarisi oleh Farah Ann Abdul Hadi, Siti Nur Bahirah Ahmad, Tracie Ang, Nur Eli Ellina Azmi, Lavinia Jayadev dan Tan Ing Yueh, masing-masing berjaya menarik perhatian juri dengan mengumpul 206.200 mata.

Pencabar utama, Singapura, yang diwakili oleh Janeesa Dai, Ashly Lau, Kelsie Muir, Nadine Nathan, Michelle Teo dan Qiyan Zeng dengan 202.500 mata.

Pingat gangsa menjadi milik pasukan Filipina yang dibarisi Rachelle Arellano, Sofia Isabel Gonzales, Elizabeth, Leduc, Ma. Christina Onofre dan Ava Lorein Verdeflor yang memungut 191.400 mata.

Kali terakhir skuad gimnastik artistik meraih emas tersebut ialah pada tahun 2001 ketika Malaysia menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu menerusi Au Li Yen, pasangan adik- beradik, Chang Swee Ting dan Chang Zhi We, Nurul Fatiha Abdul Hamid dan Yap Yen Yin.

Ketua pasukan, Farah Ann berkata beliau dan rakan sepasukannya berpuas hati apabila dapat memberikan cabaran kepada skuad tuan rumah yang dilihat pesaing utama untuk meraih pingat emas.

"Memang sasaran kami adalah emas tetapi kami tahu kelebihan tuan rumah lebih tinggi namun hari ini kami menampilkan persembahan yang sangat baik dan mengalahkan pencabar kami.

"Kami sangat teruja. Kejayaan ini adalah sangat bermakna, terima kasih kepada jurulatih, ibu bapa saya turut berada di sini memberi sokongan. Bagi saya, ini adalah skuad paling terbaik," katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, Nataliya, jurulatih dari Ukraine, berkata pasukan itu telah membuktikan dengan persembahan untuk merangkul emas dan percaya anak didiknya akan meneruskan momentum kejayaan dalam acara individu nanti.

"Mereka adalah bidadari saya...saya menaruh kepercayaan penuh terhadap mereka," katanya.

Sumber -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment