Sunday, June 14, 2015

Gimnas Negara Raih Kejayaan Luar Biasa - Muhyiddin


SINGAPURA, 14 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kejayaan dua gimnas negara N. Shasangari dan Koi Sie Yan menyumbang dua pingat emas dalam acara gimnastik berirama individu keseluruhan adalah pencapaian luar biasa.

"Syukur, saya ucap tahniah kepada kedua-dua gimnas negara yang sangat luar biasa (pencapaian), markah sama dan mendapat dua emas...bonus bagi kita.

"Kejayaan ini memberi semangat baru kepada gimnas muda yang lain. Mudah-mudahan mereka mendapat kejayaan cemerlang seperti ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan pingat kepada pemenang di Dewan Sukan Bishan di sini Ahad.

Buat pertama kali dalam sejarah Sukan SEA, Shasangari dan Sie Yan, yang masing-masing mengutip jumlah mata yang sama iaitu 60.250, meraih pingat emas.

Pingat gangsa diraih Panjarat Prawatyotin dari Thailand dengan jumlah 57.350 mata. Tiada pingat perak diberikan berikutan dua gimnas Malaysia meraih dua pingat emas dalam acara tersebut.

Muhyiddin berkata beliau tetap berbangga dengan pencapaian atlet Malaysia yang lain di Sukan SEA kali ini, dan berharap kejayaan itu akan membakar semangat mereka untuk muncul juara keseluruhan ketika Malaysia menjadi tuan rumah temasya sukan dwitahunan itu pada 2017.

"Begitu membanggakan, walaupun tidak capai ke atas (dalam pungutan pingat) tetapi prestasi mereka secara keseluruhannya dalam beberapa acara sukan yang tidak diduga, kita mendapat pingat yang banyak...itu satu yang kami harapkan.

"Seluruh rakyat Malaysia harus rasa bangga. Apabila kita menjadi tuan rumah nanti kita akan cipta kejayaan yang lebih besar," katanya.

Beliau berkata atlet negara masih mempunyai ruang untuk memperbaiki prestasi mereka menerusi program-program yang disusun oleh Kementerian Belia dan Sukan di bawah kepimpinan menterinya, Khairy Jamaluddin.

"Ada penambahbaikan, masih ada ruang untuk kita pertingkatkan lagi prestasi atlet muda menerusi program-program yang disusun oleh menteri (Khairy) serta kepimpinan sukan yang lain.

"Malaysia mempunyai banyak prasarana dan kemudahan sukan yang kita sediakan. Jadi tidak ada sebab kenapa kita harus jauh kebelakang. Cuma bola sepak harus diperbaiki lebih daripada biasa," kata Muhyiddin.

Sumber -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment