Sunday, June 14, 2015

Shasangari, Sie Yan Raih Dua Pingat Emas Dalam Acara Sama

SINGAPURA, 14 Jun (Bernama) -- Sama hebat, itulah pencapaian luar biasa dua gimnas negara N. Shasangari Sivaneswary dan Koi Sie Yan yang melakar sejarah pada Sukan SEA ke-28 apabila meraih dua pingat emas dalam acara gimnastik berirama individu keseluruhan, di sini hari ini.

Lebih manis lagi, kejayaan tersebut adalah penampilan pertama kali kedua-dua gimnas berusia 16 tahun itu dalam temasya sukan dwitahunan kali ini.

Shasangari dan Sei Yan, masing-masing berjaya menarik perhatian juri dengan persembahan terbaik dan mengumpul mata yang sama iaitu 60.250 mata menerusi empat disiplin - gelung, bola, belantan dan riben.

Pingat gangsa diraih oleh Panjarat Prawatyotin dari Thailand yang mengutip 57.350 mata. Tiada pingat perak diberikan berikutan dua gimnas Malaysia meraih dua pingat emas dalam acara tersebut.

Bagi Shasangari, beliau menyifatkan kejayaan mereka itu hari ini, adalah satu 'keajaiban' dan permulaan terbaik untuk gimnas negara meraih lebih banyak kejayaan pada kejohanan lebih tinggi.

"Kami tidak sangka dapat meraih dua pingat emas dalam acara ini...sebab kami hanya sasarkan satu pingat emas dan satu pingat perak. Kami raih dua pingat emas untuk negara.

"Kejayaan kami hari ini adalah luar biasa tetapi tiada yang mustahil. Kami hanya fokus untuk menampilkan persembahan yang baik tanpa menghiraukan sorakan penyokong...hanya kami, muzik dan peralatan," kata Shasangari.

Sie Yan pula berkata pasukan gimnas negara melakukan persediaan terbaik dengan menyertai beberapa pertandingan di luar negara sebagai persiapan ke Sukan SEA kali ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman turut hadir menyaksikan persembahan gimnas negara serta menyampaikan pingat kepada pemenang.

Sumber -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment