Sunday, June 14, 2015

PKBM Puas Hati Pencapaian Skuad Berbasikal Sukan SEA

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) berpuas hati dengan prestasi skuad berbasikal kebangsaan pada Sukan SEA di Singapura yang berjaya menamatkan kemarau pingat emas sejak 10 tahun lepas.

Timbalan Presiden PKBM Datuk Naim Mohamad berkata prestasi cemerlang skuad negara banyak dibantu para pelumba daripada pasukan benua Terengganu Cycling Team (TSG).

"Daripada pemerhatian saya, prestasi mereka kini semakin baik. Skuad berbasikal dilihat berjaya mencapai sasaran 56 peratus pungutan pingat keseluruhan daripada enam acara yang disertai," katanya kepada Bernama selepas menyaksikan acara berbasikal Cycle Asia Kuala Lumpur 2015 di Dataran Merdeka di sini, Ahad.

Dua pingat emas skuad berbasikal diperoleh melalui Mohd Harrif Saleh dalam acara kriterium lelaki dan perlumbaan lepas beramai-ramai lelaki.

Skuad berbasikal kebangsaan turut menyumbang tiga pingat gangsa melalui Nurul Suhada Zainal (perlumbaan lebuh raya lepas beramai-ramai wanita), Ju Pha Som Net (kriterium) dan Anuar Manan (perlumbaan lepas beramai-ramai lelaki).

Naim berkata kali terakhir skuad berbasikal meraih emas di temasya dwitahunan itu ialah pada penganjuran Sukan SEA Manila 2005 melalui Suhardi Hassan dan Noor Azian Alias.

"Lepas Sukan SEA, para pelumba kita akan menyertai lebih banyak perlumbaan jelajah Asia bagi menaikkan ranking Asia, sekurang-kurangnya tiga terbaik Asia untuk melayakkan diri ke Piala Dunia, September ini," katanya.

Sumber -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment