Thursday, June 11, 2015

Belum puas


PANDELELA (belakang, kiri) bersama skuad akuatik acara terjun negara tiba di perkarangan MSN, semalam.

Kuala Lumpur: Biarpun ada yang mempersoalkan penyertaannya di temasya Sukan SEA dengan menyifatkan pemenang pingat gangsa Olimpik London, Pandelela Rinong tidak wajar menyertainya namun bagi atlet kelahiran Sarawak itu, penyertaannya di temasya dwi tahunan itu memberi makna tersendiri buat dirinya.

Katanya, dia tidak pernah mengalah dan akan tetap menyertai temasya Sukan SEA dua tahun lagi andai diberi peluang.

Bagi bekas Olahragawati Kebangsaan itu berkata, Sukan SEA memberi makna tersendiri buat dirinya dan pingat yang diraih pada temasya itu adalah koleksi peribadi hasil daripada usaha kerasnya sepanjang bergelar atlet terjun negara. 

“Saya gembira dapat mempertahankan pingat emas dalam acara 10m platform ini. Penyertaan saya di Sukan SEA cukup penting dan jika boleh saya mahu terus beraksi untuk negara terutama dua tahun lagi apabila Malaysia menjadi tuan rumah.

“Lebih bermakna acara terjun dikhabarkan akan dilangsungkan di Sarawak jadi saya menanam harapan tinggi untuk beraksi di sana. Sebagai anak Sarawak sudah pastinya saya mahu beraksi di depan penduduk tempatan,” katanya.

Terdahulu, Pandelela antara lapan atlet terjun negara yang menyumbangkan emas buat negara apabila menghadiahkan emas kelapan skuad terjun negara pada hari terakhir acara terjun dipertandingkan di temasya Sukan SEA Singapura.

Dia bagaimanapun mendapat tentangan sengit rakan senegara iaitu, Loh Zhiayi yang merangkul perak.

Sementara itu tiada istilah rehat buat kesemua atlet terjun negara apabila mereka akan terus menjalani latihan seperti biasa hari ini kerana kejohanan lebih penting menanti mereka selepas ini.

Barisan atlet negara akan beraksi menyertai Kejohanan Terjun Dunia yang dijadualkan berlangsung di Kazan Russia pada pada 24 Julai ini iaitu kejohanan yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Rio.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment