Friday, June 12, 2015

Atlet Malaysia Kuasai Boling, Raih Emas Acara Berpasukan Lelaki Dan Wanita

SINGAPURA, 12 Jun (Bernama) -- Atlet Malaysia menguasai acara boling apabila meraih pingat emas dalam acara berpasukan lelaki dan wanita pada Sukan SEA ke-28 di sini, malam ini.

Pasukan lelaki terdiri daripada Alex Liew, Adrian Ang, Muhammad Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Fishol dan Timmy Tan mengumpul 6,238 jatuhan pin iaitu 172 pin mengatasi Indonesia yang memperoleh pingat perak dengan 6,066 jatuhan pin.

Thailand meraih pingat gangsa dengan melakukan 5,852 jatuhan pin.

Dalam acara berpasukan wanita, Shalin Zulkifli, Natasha Roslan, Esther Cheah, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Sin Li Jane, mengumpul 6,067 jatuhan pin, iaitu hanya 55 pin mengatasi atlet tuan rumah.

Singapura berpuas hati dengan pingat perak selepas mengumpul 6,013 jatuhan pin dan Filipina meraih gangsa dengan 5,776 jatuhan pin.

"Saya amat gembira...kami mencipta kemenangan berganda. Kita telah membuat persediaan untuk saat ini...ini adalah acara (berpasukan) yang kami buat persediaan rapi untuk Sukan SEA ini.

"Kami hampir terlepas pingat emas kepada pasukan Singapura. Mereka telah berjuang habis-habisan untuk mencapai kemenangan itu," kata ketua jurulatih Holloway Cheah.

Beliau berkata gabungan pemain berpengalaman dan muda serta berpotensi telah membuahkan hasil pada temasya sukan itu.

Acara Masters bermula esok dan Malaysia mempunyai lima wakil, masing-masing dalam kategori lelaki dan wanita.

Mereka ialah Alex Liew, Adrian Ang, Muhammad Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Fishol dan Timmy Tan bagi acara Masters lelaki, manakala atlet wanita ialah Natasha Roslan, Esther Cheah, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Sin Li Jane dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman.

Sumber -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment