Monday, June 15, 2015

2 gimnas negara kongsi emas sama

N. Shasangari Sivaneswary beraksi bersama bola dalam acara gimnastik
N. Shasangari Sivaneswary beraksi bersama bola dalam acara gimnastik berirama individu keseluruhan, Sukan SEA 2015 di Kompleks Sukan Bishan, Singapura semalam. UTUSAN

SINGAPURA - Kontinjen Malaysia mencipta sejarah tersendiri dalam Sukan SEA 2015 apabila buat pertama kali meraih dua emas daripada acara yang sama apabila dua gimnasnya berkongsi pingat emas setelah kedua-duanya mengumpul mata yang sama dalam acara gimrama individu keseluruhan di Dewan Sukan Bishan semalam.

Dua emas tersebut diraih menerusi N. Shasangari Sivaneswary dan Koi Sie Yan yang berkongsi jumlah mata tertinggi 60.250 mata, menyebabkan pingat perak ditiadakan. Gangsa menjadi milik gimnas dari Thailand, Panjarat Prawatyotin yang mengumpul 57.350 mata.

Shasangari, 16, berkata, kejayaan tersebut umpama satu keajaiban buatnya dan Sie Yan terutama ini kali pertama mereka bersaing dalam Sukan SEA.

“Kami sebelum ini sekadar menjangkakan akan meraih satu pingat emas dan satu pingat perak tetapi sebaliknya berlaku.

“Memang kami amat gembira dengan dua emas ini kerana ini juga adalah sejarah buat sukan gimnastik negara,” katanya.

Pingat emas kepada mereka dikalungkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut hadir menyaksikan acara akhir tersebut.

Bagaimanapun, dalam acara berpasukan, Malaysia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak setelah mengumpul 27.400 mata, tewas kepada tuan rumah yang mengumpul 27.700 mata manakala gangsa menjadi milik Thailand dengan 22.150 mata. 

Sumber – UTUSAN

No comments:

Post a Comment