Thursday, April 16, 2015

Undian Sukan SEA Singapura seimbang - Kim Swee

PETALING JAYA, 15 April (Bernama) -- Ketua jurulatih skuad Bawah 23 (B-23) kebangsaan Datuk Ong Kim Swee menyifatkan undian acara bola sepak Sukan SEA 2015 di Auditorium SportsSG, Hab Sukan Singapura pada Rabu, adalah undian yang seimbang.

Pengendali berusia 44 tahun itu, berkata walaupun Thailand dan Vietnam merupakan pencabar terkuat Malaysia dalam kumpulan B, beliau mengakui cabaran tiga pasukan lain dalam kumpulan sama iaitu Timor Leste, Laos dan Brunei tidak boleh dipandang mudah.

Singapura selaku tuan rumah Sukan SEA kali ini, mendapat laluan mudah selepas diundi dalam kumpulan A bersama Indonesia, Myanmar, Kemboja dan Filipina.

"Bagi saya, semua pasukan (dalam kumpulan B) mempunyai kelebihan masing-masing, namun kita meletakkan Thailand dan Vietnam sebagai pasukan pilihan untuk kita berwaspada. Kita perlu berada pada tahap terbaik apabila berdepan dengan semua pasukan," katanya.

Kim Swee berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas aksi persahabatan antara skuad B-23 negara dan kelab Liga Selangor, MK Land di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, di sini, Rabu.

Skuad B-23 negara menang 2-0 hasil jaringan Rozaimi Ab Rahman dan Muhammad Akram Mahinan pada babak kedua perlawanan.

Pada masa sama, Kim Swee mengakui skuad negara tidak berada dalam tekanan pada temasya kali ini, berbanding dua tahun lepas di Myanmar selaku pasukan pilihan, selepas meraih pingat emas pada edisi 2011 di Jakarta.

Dalam pada itu, Kim Swee mengakui masih terlalu awal untuk menilai keupayaan pemain kacukan dari Australia, Matthew Davies yang disenaraikan dalam sesi latihan pusat fasa ketiga skuad B-23 negara, pada kali ini.

"Saya melihat beliau mempunyai potensi tersendiri. Kita perlu memberi beliau masa kerana lebih kurang seminggu sampai ke negara ini (dari Australia) terutamanya bagi menyesuaikan diri dengan suasana (bola sepak) kita.

"Saya percaya dalam tempoh sebulan lagi, beliau akan berada pada situasi yang lebih baik berbanding sekarang," kata Kim Swee.

Davies, 20, yang beraksi bersama Kelab Liga Australia, Perth Glory menyertai pasukan Pahang ketika jendela perpindahan kedua pemain Liga Malaysia, awal bulan ini.

Beliau layak beraksi untuk mewakili negara selepas mendapat kerakyatan Malaysia, baru-baru ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment