Monday, April 13, 2015

Sukan SEA: Kim Swee harap Malaysiadalam Kumpulan A

PETALING JAYA, 12 April (Bernama) -- Ketua jurulatih skuad Bawah 23 (B-23) negara Datuk Ong Kim Swee berharap pasukannya diundi dalam Kumpulan A acara bola sepak pada Sukan SEA 2015 di Singapura nanti.

Beliau berkata pasukan Kumpulan A hanya perlu beraksi empat perlawanan berbanding lima perlawanan dalam kumpulan B, pada temasya tersebut yang akan berlangsung Jun ini.

Sebanyak 11 pasukan bakal mengetahui nasib mereka menerusi undian acara bola sepak Sukan SEA 2015 yang akan diadakan Rabu ini.

"Saya bukan memilih pasukan mana yang kita lawan. Kalau kita dapat kurang perlawanan, itu lebih bagus," katanya kepada pemberita pada sesi latihan pusat fasa ketiga skuad berkenaan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, Petaling Jaya, Ahad.

"Seperti yang kita semua tahu, perlawanan pada Sukan SEA cukup padat kerana setiap pasukan hanya mempunyai rehat sehari seperti mana yang kita lalui pada Sukan SEA 2013 (di Myanmar)," katanya.

Dalam pada itu, Kim Swee mengingatkan 30 pemain yang dipanggil untuk sesi latihan pusat kali ini, supaya menunjukkan komitmen tinggi kerana hanya 20 pemain terbaik akan terpilih menggalas cabaran negara pada temasya sukan dwi-tahunan itu.

Kim Swee menegaskan pemain yang gagal memberi tumpuan, selain berdepan kecederaan, mungkin digugurkan sebelum beliau menamakan senarai muktamad 20 pemain beberapa hari sebelum skuad berkenaan berlepas ke Singapura.

"Saya hanya mempunyai lebih kurang sebulan setengah untuk menilai aksi mereka dalam Liga (Malaysia) sebelum latihan fasa akhir pada 3 Mei, jadi mereka perlu menunjukkan komitmen yang tinggi," katanya.

Kim Swee berkata pemain daripada beberapa pasukan hanya akan melaporkan diri Isnin, kerana terlibat dengan perlawanan Liga Perdana Ahad malam, termasuk masalah kecederaan yang dialami Mohamad Arif Fadzillah Abu Bakar daripada kelab T-Team.

Jurulatih itu berkata skuad B-23 negara akan beraksi pada perlawanan persahabatan tertutup menentang pasukan Liga Selangor, MK Land pada Rabu ini di Wisma FAM bagi menguji keserasian antara pemain.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment