Thursday, April 9, 2015

Emas Sukan SEA bukan jaminan



KUALA LUMPUR – Berjaya memenangi pingat emas Sukan SEA belum menjamin mana-mana atlet untuk diserapkan ke dalam Program Podium kerana penanda aras sebenar ialah menempatkan diri dalam kalangan tiga atlet terbaik Asia.


Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menegaskan, kejayaan dalam Sukan SEA sekadar satu platform pembangunan dan tidak membawa apa-apa makna kerana atlet perlu memandang lebih tinggi iaitu sekurang-kurangnya di peringkat Asia dan seterusnya Olimpik. 

Katanya lagi, selain mampu menempatkan diri dalam kalangan terbaik Asia, setiap atlet juga mesti mempunyai catatan masa lebih baik dengan memecahkan rekod kebangsaan.

“Pemilihan atlet ke Program Podium tidak terhad kepada mereka yang mengambil bahagian pada Sukan SEA sahaja. Ada beberapa atlet tidak bertanding kali ini kerana ranking mereka terlalu tinggi.
“Bagaimanapun, syarat paling asas untuk melayakkan diri ke program podium ialah mereka mestilah terbaik di Asia Tenggara dan jika mereka tidak mampu berada dalam kalangan terbaik, sudah tentu mereka tidak diserapkan.

“Suka saya ingatkan menang pingat emas Sukan SEA belum tentu melayakkan mereka dalam Program Podium kerana penanda aras sebenarnya adalah rekod peribadi mereka, sama ada memecah rekod kebangsaan atau catatan masa mereka berada dalam kalangan tiga terbaik Asia ” kata Khairy dalam sidang akhbar pelancaran web portal dan booklet Sukan SEA Singapura 2015 di Dewan Perdana Institut Sukan Negara (ISN), semalam.

Hadir sama Ketua Kontinjen Sukan SEA 2015, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria; Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jamil Salleh; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pengarah ISN, Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz.

Misi utama program itu ialah memastikan Malaysia mampu me­raih pingat emas Sukan Olim­pik serta berada di kedudukan 10 terbaik Sukan Asia dan Sukan Komanwel pada masa depan, selain mensasarkan kemenangan 50 peratus pingat daripada ke­seluruhan acara disertai dalam Sukan SEA, terutama selepas tahun ini.

Dalam isu berlainan, Khairy memberi mesej tegas kepada atlet agar berwaspada terhadap apa mereka yang ambil ketika Sukan SEA tinggal kurang dua bulan untuk berlangsung dan hanya mengambil bahan yang dibekalkan oleh ISN. 

“Setiap atlet bertanggungjawab terhadap apa yang mereka ambil untuk badan mereka, apa yang mereka guna, makan dan minum, jadi jika mereka berasa ragu-ragu terhadap apa yang mereka ambil, saya berpesan lebih baik mereka bergantung kepada bahan yang dibekalkan ISN sahaja.

“Saringan yang dikenakan terhadap semua atlet kali ini ialah sebagai pengajaran terhadap apa yang berlaku terhadap dua kes profil tinggi iaitu melibatkan seorang pemenang pingat emas dan pemain nombor satu dunia dalam sukan badminton,” katanya.

Menyentuh sasaran Sukan SEA Singapura, Khairy berkata, mereka belum dapat memuktamadkan jumlah keseluruhan pingat yang boleh menangi kerana masih ada satu dan dua sukan belum melengkapkan senarai bilangan atlet ke Sekretariat Sukan SEA 2015.

“Perkara mengenai sasaran ini saya akan umum kemudian kerana masih ada beberapa sukan yang terikat dengan pertandingan di pentas antarabangsa dan kita hanya boleh melengkapkan jumlah sasaran kita selepas lengkap senarai atlet.

“Selepas selesai, barulah kita boleh umumkan kepada pihak media,” katanya. 



UTUSAN

No comments:

Post a Comment