Thursday, February 5, 2015

Tiada Sasaran Pingat Bagi Sukan SEA Singapura - Tunku Imran

Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Majlis Olimpik Malaysia (MOM) buat pertama kali, memutuskan untuk tidak meletakkan sebarang sasaran pingat bagi Sukan SEA di Singapura yang dijadualkan pada Jun.

Presiden MOM Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar berkata: "Kami telah bersetuju untuk tidak meletakkan sasaran kali ini. Kami tidak mahu memberi tekanan ke atas atlet."

Beliau berkata sukan-sukan individu mungkin mempunyai sasaran tertentu tetapi ini tidak melibatkan kontinjen.

"Setiap atlet berpeluang untuk meraih pingat emas...dan saya percaya setiap sukan mempunyai sasarannya sendiri," kata beliau dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pemilihan MOM bagi Sukan SEA ke-28 di Singapura, di sini pada Rabu.

Turut hadir chef-de-mission (CDM) Datuk Mohamad Norza Zakaria, setiausaha kehormat MOM Datuk Sieh Kok Chi dan ketua pengarah Majlis Sukan Negara Ahmad Shapawi Ismail.

Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata Malaysia akan memberi tumpuan kepada atlet baharu dan berpotensi pada Sukan SEA Singapura.

Khairy juga berkata bahawa pada Sukan SEA sebelumnya, Malaysia lebih memberi fokus kepada jumlah pingat emas untuk dicapai tetapi kali ini strateginya telah berubah.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment