Wednesday, February 4, 2015

Dua gimnas elit digugurkan



STATUS atlet elit bukan jaminan untuk mendapat tempat dalam kontinjen negara ke Sukan SEA 2015 di Singapura nanti.

Ia terbukti apabila dua atlet gimnastik berirama harapan negara dipercayai digugurkan serta-merta oleh Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF).

Menurut sumber dalaman MGF, dua gimnas tersebut ialah Amy Kwan dan Fatin Zakirah Jalany Zain Jalany yang juga merupakan pemenang pingat gangsa bagi acara berpasukan pada Sukan Komanwel Glasgow, Scotland tahun lalu.

“Mereka digugurkan serta-merta kerana tidak menunjukkan prestasi membanggakan. Situasi ini menyebabkan pihak pengurusan sebulat suara menggugurkan dua atlet terbabit daripada skuad kebangsaan serta penyertaan ke Sukan SEA 2015.

“Selain itu, kecederaan turut menjadi punca menggugurkan mereka.
“Namun, apa yang menjadi persoalan ialah bagaimana lagi cara untuk mereka membuktikan kemampuan sedangkan potensi, keputusan dan prestasi semasa berada di tahap terbaik. Lihat sahaja pencapaian mereka di Sukan Komanwel lalu.

“Memang benar kedua-dua gimnas itu mengalami kecederaan dan sedang menjalani rawatan pemulihan tetapi saya percaya mereka mampu pulih dengan segera,” kata sumber itu kepada Kosmo! semalam.

Ironinya, pengganti yang dipilih oleh MGF turut dikatakan mengalami kecederaan.
Isu tersebut timbul apabila hanya terdapat dua slot yang ditawarkan penganjur bagi acara itu dan perebutan berlaku apabila Olivia Tai Qing Tong diletakkan dalam senarai utama yang sepatutnya menjadi milik salah seorang daripada gimnas yang disingkirkan tersebut.

“Pihak MGF telah menilai prestasi Amy Kwan dan Fatin Zakirah Jalany, namun dikatakan tidak menepati standard. Tetapi, apabila Olivia yang baharu diserapkan dalam skuad kebangsaan serta tidak mempunyai rekod memuaskan sudah tentu akan menimbulkan pertikaian dan rasa tidak senang hati dalam kalangan atlet gimnastik.

“Sudah tentu apa yang dilakukan MGF tidak wajar memandangkan kedua-duanya memegang status elit dan rekod pencapaian di arena antarabangsa juga memuaskan,” ujar sumber tersebut.

Tambah sumber itu, Sukan SEA 2015 yang akan berlangsung pada Jun nanti, memberi peluang dan masa yang mencukupi buat dua atlet berkenaan untuk sembuh, sekali gus kembali ke prestasi asal.
Bagaimanapun, mereka dibenarkan menjalani latihan serta mendapat rawatan pemulihan daripada Institut Sukan Negara (ISN).

Oleh TAUFIK SALIMIN - KOSMO

No comments:

Post a Comment