Wednesday, January 21, 2015

Tuan Rumah Sukan SEA, Singapura Perkenal Ujian Saringan Darah


KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Penganjuran edisi ke-28 Sukan SEA Singapura bakal menjadi temasya sukan pertama membuat saringan darah di samping ujian doping yang sering dilakukan secara rawak terhadap atlet, semasa temasya berkenaan berlangsung dari 5 hingga 16 Mei ini.

Ketua kontinjen negara ke temasya dwi-tahunan itu Datuk Norza Zakaria berkata adalah menjadi keutamaan untuk melengkapkan atlet dengan pengetahuan dan meningkatkan kesedaran tentang isu doping.

"Singapura mahu memastikan temasya sukan kali ini bebas daripada penggunaan bahan terlarang. Ini merupakan temasya sukan pertama bukan sahaja atlet akan diuji menggunakan sampel air kencing mereka tetapi 20 peratus daripadanya diambil dari darah mereka.

"Kita akan berunding dengan Agensi Anti Doping Dunia (Wada) dan Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas) dan menyiapkan buku panduan terperinci untuk memastikan atlet tahu mengenai perkara ini," katanya kepada pemberita selepas Seminar Pengurus Pasukan di Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini hari ini.

Selain memperkenal ujian saringan darah, Norza berkata tuan rumah temasya dwi-tahunan itu juga mahu menjadi penganjur pertama memperkenal aplikasi digital.

Beliau berkata menerusi aplikasi itu, segala maklumat berkaitan Sukan SEA di Singapura akan disalurkan melalui internet dan media sosial.

"Kita memanggil semua pengurus pasukan datang hari ini dan bekalkan dengan tablet untuk memuat turun segala maklumat yang diberi oleh penganjur contohnya buku panduan teknikal, borang akreditasi dan sebagainya...segala maklumat mengenai Sukan SEA dalam bentuk digital," katanya.

Dalam pada itu, Norza berkata Sukan SEA di Singapura kali ini bakal memberi cabaran hebat bukan sahaja dari segi prestasi kontinjen negara tetapi dalam aspek pengurusan memandangkan banyak perkara baharu diperkenalkan.

Selain akan melaksanakan ujian darah dan aplikasi dalam talian, Sukan SEA di Singapura juga tidak mempunyai perkampungan sukan sebagai penempatan kontinjen negara-negara yang bertanding.

"Semua kontinjen akan diberi penempatan berasaskan kepada sukan bukan negara. Contohnya, badminton di Hotel Peninsular.

"Saya rasa itu akan memberi kita cabaran dari segi mengawal atlet kerana bukan sahaja hotel-hotel itu merupakan penempatan kepada atlet tetapi kerana, di Singapura, kebanyakan hotel dibina berhampiran pusat membeli-belah," katanya.

Justeru, Norza berkata pelantikan dua timbalan ketua kontinjen iaitu Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Dr S. Shamala dan Naib Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Peter Chee adalah wajar untuk membantu beliau dalam menguruskan keperluan kontinjen negara.

Katanya kontinjen negara pada temasya kali ini juga adalah besar, jangkaan antara 700 dan 800 atlet dan pegawai serta kesemua mereka akan menggunakan perkhidmatan bas ke Singapura.

Sementara itu, beliau mengakui kontinjen negara akan berdepan dengan tekanan dan masih dibayangi kegagalan mencapai sasaran pingat emas semasa Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland dan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan tahun lepas.

Namun, katanya apa yang penting segala persiapan atlet dilakukan secara rapi dan berkualiti selain mengingatkan mengenai kepentingan peranan pengurus pasukan.

"Jangan ada mereka yang mahukan jawatan pengurus pasukan sebab memikirkan glamor tapi kena faham dan bertanggungjawab ke atas atlet di bawah penjagaan mereka," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung MOM Datuk Sieh Kok Chi berkata setakat ini Malaysia telah menyenarai 35 acara sukan untuk disertai pada temasya kali ini.

"Sama ada kesemua sukan akan kita sertai pada Sukan SEA kali ini, bergantung kepada keputusan jawatankuasa pemilihan kerana kesuntukan masa. Kita akan kekalkan kategori pembiayaan sendiri sebab sesetengah sukan seperti floorball, kita tidak mempunyai rekod pencapaian dan kejohanan.

"Kalau boleh, kita tidak mahu berlaku pembaziran kali ini," katanya sambil menegaskan bahawa temasya Sukan SEA bukanlah medan untuk mempromosi sukan masing-masing.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment