Monday, January 19, 2015

Taekwondo: STF Harap Sertai Pemilihan Bagi Sukan SEA 2015

SIBU, 18 Jan (Bernama) -- Persekutuan Taekwondo Sarawak (STF) berharap kepimpinan baharu Majlis Sukan Negara (MSN) memberikannya peluang untuk menghantar atlet berpotensi ke sesi pemilihan peringkat kebangsaan bagi mewakili Malaysia ke Sukan SEA 2015 di Singapura.

Presidennya, Dr Henry Toh berkata STF bersedia untuk menghantar sekurang-kurangnya enam atlet ke pemilihan tersebut sekiranya Ketua Pengarah MSN Ahmad Shapawi Ismail yang menggantikan Datuk Seri Zolkples Embong bulan lalu, memberi peluang tersebut.

Sebelum ini, tiada atlet STF yang menyertai mana-mana kejohanan yang diiktiraf MSN kerana bernaung di bawah Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) yang tidak diiktiraf di negara ini kerana bukan anggota gabungan Persekutuan Taekwondo Dunia (WTF).

Bagaimanapun, MTA sebelum ini menyatakan bahawa ia tidak pernah keluar daripada gabungan tersebut dan tidak pernah menerima surat daripada WTF menyatakan MTA telah keluar daripada gabungan dengan WTF.

Ketika ditemui Bernama selepas menyempurnakan penutupan Seminar Instruktor Kebangsaan peringkat Sabah dan Sarawak di sini hari ini, Dr Toh yang juga Timbalan Presiden MTA berkata hanya atlet daripada Taekwondo Malaysia dipilih untuk menyertai kejohanan yang diiktiraf MSN mahupun mewakili negara dalam acara taekwondo ke temasya sukan dunia.

Tiga puluh peserta dari Sabah dan Sarawak menghadiri seminar bagi silibus Kukkiwon itu yang berlangsung pada 17 dan 18 Jan anjuran MTA dan WTF.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment