Saturday, December 7, 2013

Skuad Bola Sepak Wanita Sukan SEA Yakin Ke Separuh Akhir

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita kebangsaan Jacob Joseph yakin sasaran ke separuh akhir mampu dicapai oleh anak didiknya pada saingan Sukan SEA di Myanmar nanti.

Beliau berkata sasaran berkenaan adalah realistik berdasarkan persembahan yang ditunjukkan para pemain dalam beberapa aksi persahabatan yang diadakan dengan Vietnam dan Thailand.

"Saingan memang sengit kerana mereka (pasukan lain) ada liga masing-masing tapi saya yakin dengan semangat melawan yang tinggi serta kerjasama yang erat di kalangan pemain, sasaran ke separuh akhir mampu dicapai," katanya kepada Bernama.

Jacob bagaimanapun mengingatkan anak didiknya supaya berwaspada dengan beberapa pasukan lain seperti Thailand dan Laos yang mampu menggugat peluang skuad negara ke separuh akhir.

"Saya difahamkan Laos bakal menurunkan tiga pemain mereka yang sedang beraksi di Liga Jepun selain Thailand yang bakal membariskan pemain terkuat daripada liga mereka. Bagi saya para pemain tidak harus leka ketika berhadapan dengan dua pasukan ini," katanya.

Jacob turut berharap para pemain dapat memanfaatkan kem motivasi serta sesi latihan pusat yang diadakan di Teluk Intan, Perak sejak awal tahun ini dalam memburu slot ke separuh akhir.

"Saya yakin pengalaman lalu di mana kita menjadi pasukan belasahan pada saingan Sukan SEA yang lepas telah memberi pengajaran yang berguna kepada kita," katanya.

Berkongsi pandangan yang sama ialah kapten skuad Angela Kais yang melaungkan keyakinan rakan sepasukannya mampu memberikan cabaran sengit kepada negara lain walaupun majoriti daripada mereka adalah muka baharu.

Katanya kehadiran beberapa pemain senior yang masih kekal beraksi bersama skuad kebangsaan mampu membimbing pemain muda dalam menghadapi saingan Sukan SEA..

"Kami sudah bersedia menjalankan tugas masing-masing dan berharap sasaran ke separuh akhir mampu dicapai. "Bagi saya, Thailand merupakan pasukan yang perlu diberikan perhatian memandangkan mereka mempunyai liga selain tidak pernah kekurangan pemain untuk menghadapi mana-mana kejohanan," katanya yang menyarung jersi kebangsaan sejak 2007.

Skuad bola sepak wanita negara dijangka bertolak ke Myanmar Ahad ini manakala aksi pembukaan bakal berlangsung di Stadium Mandalar Thiri di Mandalay, tiga hari kemudian.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Laos, Thailand dan Timor Leste manakala juara bertahan Vietnam mengetuai cabaran Kumpulan A bersama Filipina, Indonesia dan Myanmar.

Pencapaian terbaik skuad bola sepak wanita kebangsaan ialah pada Sukan SEA 1995 di Thailand menerusi pungutan pingat perak selepas kalah 0-1 kepada pasukan tuan rumah pada aksi final.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment