Friday, December 13, 2013

Pesilat Negara Cedera Ketika Beraksi Pusingan Separuh Akhir


NAYPYITAW, 12 Dis (Bernama) -- Malang tidak berbau apabila pesilat negara Muhamad Helmi Aziz terpaksa dikejarkan ke hospital akibat mengalami kecederaan ketika beraksi menentang pesilat Thailand, Nanthachai Khanson dalam acara Kelas B Putera di Stadium Tertutup Zayer Thiri dekat sini, Khamis.

Muhamad Helmi yang beraksi dalam kesakitan terpaksa akur dengan kekalahan 5-0 pada perlawanan peringkat separuh akhir dan gagal meneruskan cabaran ke final yang dijadualkan berlangsung di venue yang sama Jumaat.

Pengurus pasukan Pencak Silat negara ke temasya Sukan SEA ke-27, Datuk Md Sohaimi Mohamed berkata Muhamad Helmi terpaksa dikejarkan ke hospital bagi menjalani pemeriksaan lanjut.

"Sehingga kini kita tidak tahu sejauh mana kecederaan yang dialami oleh Muhamad Helmi dan kita sama-sama berdoa agar beliau tidak mengalami kecederaan yang serius," katanya kepada pemberita.

Md Sohaimi berkata pesilat negara itu mengalami kecederaan apabila menerima tendangan deras dari pesilat Thailand pada perlawanan pusingan ketiga namun beliau masih mampu menamatkan pertandingan dengan bertahan.

Beliau berkata kecederaan adalah adat permainan dalam acara sukan tempur kerana pesilat akan terdedah dengan risiko kecederaan setiap kali mereka turun ke gelanggang.

"Saya harap insiden ini tidak mematahkan semangat pesilat lain untuk terus memburu pingat pertama bagi acara silat," katanya.

Sementara itu Ketua Kontinjen Negara Datuk Wira Amiruddin Che Embi yang dihubungi BERNAMA berkata pesilat negara itu tidak mengalami kecederaan serius.

Skuad silat negara meletakan sasaran tiga pingat emas pada Sukan SEA Ke-27 menyamai kutipan tiga pingat emas yang dicapai pada Sukan SEA edisi ke-26 di Indonesia dua tahun lepas.

Daripada Ahmad Muliyady Abdul Majid --BERNAMA

No comments:

Post a Comment