Wednesday, December 18, 2013

Nauraj Singh Kekal Dominasi Malaysia Dalam Acara Lompat Tinggi


NAYPYITAW, 18 Dis (Bernama) -- Nauraj Singh Randhawa memastikan penguasaan Malaysia dalam acara lompat tinggi apabila meraih pingat emas pada Sukan SEA Myanmar di Stadium Utama Wunna Theikdi di sini, Rabu.

Pencapaian atlet tinggi lampai dari Johor itu, yang membuat penampilan pertama pada Sukan SEA, berjaya mempertahankan dominasi Malaysia dalam acara berkenaan sejak temasya 1977 di Kuala Lumpur.

Nauraj, 21, meraih emas selepas melepasi lompatan 2.17 meter.

Beliau kemudian cuba membuat lompatan pada ketinggian 2.25m bagi mengatasi rekod Sukan SEA iaitu 2.24m yang dipegang Loo Kum Zee sejak Sukan SEA 1995 di Chiang Mai, namun gagal dalam ketiga-tiga percubaan.

Pingat perak milik atlet Vietnam, Van Thuy Dao manakala Pramote Pumurai dari Thailand memenangi gangsa. Kedua-dua atlet berkenaan terikat dengan lompatan 2.13m, namun Thuy Dao diisytihar pemenang tempat kedua berdasarkan kiraan semula.

Dalam pada itu, Nauraj berkata beliau tidak mempunyai banyak masa melakukan latihan pemanas badan setiba di stadium kerana acaranya dipercepatkan sejam.

"Tetapi saya tidak kelam-kabut dan cuba bertenang kerana misi saya di sini adalah untuk menang pingat emas.

"Saya tidak pernah membuat lompatan lebih 2.20m. Apa pun saya gembira dan matlamat saya selepas ini ialah memperbaiki prestasi saya dan layak beraksi pada Sukan Olimpik akan datang," katanya.

Seorang lagi atlet lompat tinggi negara, S. Navinraj yang membuat penampilan kedua pada temasya itu, sekadar menduduki tempat kelima dengan lompatan 2.09m.

Pencapaian emas dari Nauraj itu adalah yang ketiga dari sukan olahraga di Myanmar setakat ini, selepas Muhammad Irfan Shamsuddin memenangi acara lempar cakera dan Mohd Jironi Riduan dalam acara 800m lelaki.

Dalam pada itu, Harith Ammar Mohd Sobri menambah koleksi pingat buat Malaysia hari ini apabila meraih perak dalam acara 200m lelaki dengan catatan masa 21.46s.

Acara berkenaan dimenangi oleh pelari Thailand Meenapra Jirapong dari Thailand dengan catatan 21.29s manakala pingat gangsa milik pelari Vietnam, Le Trong Hinh yang mencatat 21.47s.

Seorang lagi pelari negara, Mohd Shahmimi Azmi menduduki tempat ketujuh dengan catatan masa 21.72s.

Pelari wanita negara, S. Komalam Shally pula gagal memberi impak dalam acara 200m apabila menduduki tempat kedua tercorot dalam kalangan lapan peserta apabila mencatat masa 24.95s.

Vu Thi Huong dari Vietnam mengungguli acara berkenaan dengan catatan 23.55s manakala perak dimenangi Klomdee Neeranuch dari Thailand sementara atlet Vietnam Nguyen Thi di tempat ketiga.

Neeranuch mencatat masa 24.02s manakala Thi Oanh 24.13s.

Daripada Elmi Rizal Elias -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment