Thursday, December 5, 2013

Khairy Minta Atlet Negara Tidak Cepat Mengaku Kalah

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Diangkat sebagai duta negara, para atlet negara ke Sukan SEA Myanmar diseru supaya tidak mengaku kalah dalam menghadapi apa jua kesukaran semasa kejohanan.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata mereka perlu ingat bahawa keluarga mereka dan 28 juta rakyat Malaysia mempunyai harapan tinggi kepada mereka dan sentiasa mendoakan agar mereka pulang dengan kejayaan.

"Biarlah negara lain melihat kontinjen kita dengan baju harimau sebagai pasukan yang akan menawan Sukan SEA.

"Bila (atlet negara lain) meninggalkan padang, kolam renang ataupun gelanggang setelah bertemu dengan atlet negara, mereka tahu mereka telah bertemu dengan juara Sukan SEA," katanya kepada kontinjen negara pada majlis penyerahan Jalur Gemilang di Majlis Sukan Negara di sini Khamis.

Khairy berkata beliau percaya kontinjen negara mampu meraih kejayaan cemerlang pada kejohanan kali ini.

"Apabila kita sudah membuat latihan dan berusaha keras sebelum ini, saya pasti hasilnya akan diperolehi," katanya yang turut mengingatkan para atlet supaya menjaga disiplin semasa di Myanmar.

Beliau menyerahkan Jalur Gemilang kepada pembawa bendera kontinjen negara iaitu atlet bina badan Sazali Abdul Samad.

Sazali berkata beliau optimis barisan atlet muda yang pertama kali beraksi pada temasya dwitahunan itu akan berjuang bersungguh-sungguh dan sekurang-kurangnya membawa pulang satu pingat gangsa dalam acara masing-masing.

"Tugas kita (kontinjen) di Myanmar bukan mudah, kita perlu merealisasikan impian negara dengan 40 pingat emas.

Kontinjen negara yang merangkumi 556 orang atlet dan 242 pegawai akan menyertai 29 daripada 33 acara yang dipertandingkan.

Sukan SEA Myanmar berlangsung dari 11 hingga 22 Dis di daerah Naypyitaw, Yangon, Mandalay dan Ngwe Saung.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment