Tuesday, December 24, 2013

KBS mahu ulang pencapaian

NAY PYI TAW - Ramai yang mempersoalkan tentang sasaran sebenar kontinjen negara pada Sukan SEA 2013 Myanmar, bukan dari segi pingat tetapi ranking antara keseluruhan negara bertanding dan semalam, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mula melihat tentang pandangan tersebut.

Rata-rata peminat sukan tanah air terutama di laman sosial, Facebook mula bertanya adakah ia sudah mencukupi jika kontinjen negara berjaya mencapai sasaran pingat emas yang ditetapkan sedangkan ketinggalan dari segi kedudukan ranking.

Ketua Setiausaha KBS, Datuk Jamil Salleh berkata, atlet dan Majlis Sukan Negara (MSN) perlu memulakan persediaan dari sekarang dengan mengadakan pelbagai perancangan terutama menjelang Sukan SEA 2017 yang mana Malaysia akan menjadi tuan rumah.

"Kita akan cuba capai tahap terbaik dan Malaysia kembali menjadi juara keseluruhan seperti yang dilakukan pada 2001 di Kuala Lumpur. Kita mahu pecahkan rekod yang sudah lama tidak dilakukan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hotel Shwe Done Daing di sini, semalam.

Malaysia menduduki tangga kelima di belakang juara keseluruhan Thailand, tuan rumah (Myanmar), Vietnam dan Indonesia selepas meraih 43 emas, 38 perak dan 77 gangsa di temasya dwi tahunan itu yang berakhir semalam.

Jelasnya, untuk persediaan Sukan SEA 2017, kementerian akan memulakan penubuhan Jawatankuasa Persediaan awal tahun depan yang akan dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

"Kita akan pastikan segala persediaan berjalan lancar dan mencapai sasaran yang ditetapkan, persediaan awal ini perlu dilaksana kerana tempoh empat tahun dari sekarang bukannya lama.
"Atlet juga akan mendapat peruntukan tahunan seperti mana yang disediakan kerajaan, ia bukan peruntukan tambahan. Kita akan gunakan peruntukan semasa untuk berjimat cermat, tetapi akan berlatih semaksimum mungkin," katanya.

Daripada segi peruntukan infrastruktur pula Jamil berkata, kerajaan tidak akan berbelanja besar dan akan menggunakan gelanggang sedia ada seperti di Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Hoki Nasional yang akan diperbaiki kemudahan asas pada venue tersebut.

"Perbelanjaan infrastruktur juga tidak begitu besar seperti mana kita pernah bina Kompleks Sukan Nasional yang bernilai RM800 juta, cuma 10 peratus sahaja daripada perbelanjaan tersebut untuk digunakan menaik taraf beberapa gelanggang.

"Kita tidak perlu bina gelanggang baru seperti Myanmar, lebih baik kita menggunakan venue sedia ada. Saya juga berharap semua atlet yang ada sekarang terutama yang masih muda dapat mempertingkatkan lagi pengalaman menjelang Sukan SEA 2015 Singapura dan 2017 di Malaysia," katanya.

Tambahnya, pelbagai program akan diatur KBS, MSN dan lain-lain agensi agar Malaysia mampu mencapai prestasi terbaik pada kedua-dua temasya tersebut nanti

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Sukan/20131223/su_03/KBS-mahu-ulang-pencapaian#ixzz2oNRh3BQk

No comments:

Post a Comment