Tuesday, December 24, 2013

2013: Kejayaan Dan Kontroversi Warnai Arena Sukan Malaysia


KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Kalendar 2013 arena sukan Malaysia melabuhkan tirainya dengan penyertaan ke temasya Sukan SEA ke-27 di Myanmar, yang menyaksikan kontinjen negara mengutip 43 pingat emas sekali gus mengatasi sasaran awal 40 pingat emas.

Selepas 18 hari temasya dwitahunan itu berlangsung, Malaysia mengutip keseluruhan 43 pingat emas, 38 perak dan 76 gangsa untuk berada di tempat kelima dalam kedudukan pingat keseluruhan, berbanding edisi 2011 di Jakarta dan Palembang, Indonesia, apabila Malaysia meraih 59 emas, 50 perak dan 82 gangsa.

Namun jumlah pungutan pingat yang berkurangan bukanlah petanda kemerosotan kontinjen negara. Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyifatkan sasaran 40 pingat emas sebagai sasaran realistik kerana ada acara tidak dipertandingkan pada temasya Sukan SEA kali ini.

Penampilan atlet muda dan pelapis pada temasya kali ini amat membanggakan dan begitu juga kejayaan yang dilakar beberapa atlet daripada sukan kurang popular seperti ekuestrian dan muay yang masing-masing berjaya menghadiahkan tiga dan dua pingat emas.

Kegagalan skuad Harimau Muda mempertahankan 'ibu segala pingat' dalam acara bola sepak adalah suatu yang mengecewakan para peminat sukan tanah air dan akhirnya, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee pulang dengan tangan kosong.

Selain episod suka dan duka di Myanmar, atlet negara terus memahat nama di persada sukan antarabangsa.

Skuad hoki remaja lelaki Malaysia memahat sejarah tersendiri dengan mengulangi pencapaian tempat keempat pada edisi 1979, 1982 dan 1985 dalam kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki.

Kejayaan skuad Projek 2013 kendalian Muhammad Dharma Raj Abdullah itu juga melepasi sasaran awal iaitu tempat keenam oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Sementara itu, komitmen terhadap latihan telah menjurus kepada kilauan emas buat atlet elit olahraga paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru kategori F20 (masalah pembelajaran) lelaki di Kejohanan Olahraga Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) di Lyon, Perancis, Julai lepas.

Ekoran kejayaan itu, Muhammad Ziyad menjadi penerima pertama insentif sama seperti atlet lain di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam).

Selain Muhammad Ziyad, negara juga boleh berbangga dengan jaguh-jaguh berbasikal lebuh raya kebangsaan yang banyak mencipta kejayaan tersendiri.

Antara yang menjadi tumpuan media sepanjang 2013 ialah Loh Sea Keong, pelumba kelahiran Kelantan, yang mencipta sejarah sebagai pelumba terbaik keseluruhan perlumbaan Jelajah Malaysia 2013 (jersi kuning).

Rentetan kejayaan yang dikecapi sepanjang 2013, pelumba profesional negara itu menerima lamaran pasukan Pro Tour, Argos-Shimano untuk menyertai pasukan itu musim 2014 dan sekali gus menjadi pelumba tempatan pertama beraksi bersama pasukan berstatus Pro Tour dalam kalendar perlumbaan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Dalam pada itu, Malaysia boleh terus berbangga dua atletnya yang bertaraf dunia dan terus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Sebut sahaja nama Datuk Nicol Ann David dalam sukan skuasy dan Datuk Lee Chong Wei dalam sukan badminton, banyak yang sudah mengenali mereka kerana kedua-duanya masih mengekalkan ranking pertama dunia.

Untuk tahun 2013, Nicol, juara dunia tujuh kali itu bermula agak tidak memberangsangkan selepas tewas dua kali pada perlawanan akhir dalam kejohanan skuasy Cleveland Classic (5 Feb) dan Terbuka Britain (26 Mei).

Namun selepas pertengahan tahun 2013, pemain berusia 30 tahun dan berpangkalan di Amsterdam, Belanda itu, meledak dengan menjuarai lima kejohanan jelajah Persatuan Skuasy Wanita (WSA) iaitu Terbuka Malaysia (15 Sept), Terbuka Carol Weymuller (6 Okt), Terbuka Amerika Syarikat (18 Okt), Terbuka China (27 Okt) dan Terbuka Hong Kong (8 Dis).

Sementara Chong Wei pula muncul pemain pertama yang memenangi Superseries Dunia BWF Akhir untuk kali keempat berturut-turut.

Kejayaan itu juga adalah yang ketujuh beliau dalam siri Kejohanan Superseries tahun ini iaitu di Korea Selatan, Malaysia, India, Indonesia, Jepun dan Hong Kong.

Arena sukan negara turut menarik perhatian ramai apabila timbulnya beberapa isu, terutama yang melibatkan kepentingan negara dan masalah dalaman persatuan sukan.

Paling ketara ialah kemelut antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa berhubung isu pelantikan beliau oleh Khairy dalam Jawatankuasa Pembangunan Bola sepak Negara.

Kemelut timbul apabila FAM tidak mahu menghantar wakilnya dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan memandangkan Annuar masih lagi menjalani hukuman penggantungan jawatan selama dua tahun setengah kerana mengeluarkan kenyataan akhbar yang berunsur negatif terhadap skuad bola sepak kebangsaan, sekali gus melanggar Artikel 88 Statut FAM.

Isu itu berlanjutan sehinggalah Annuar membuat keputusan mengejut dengan melepaskan semua jawatan dalam persatuan bola sepak tanah air termasuk menjadi anggota Jawatankuasa Pembangunan Bola sepak Negara, yang bertujuan untuk menjernihkan semula keadaan supaya program pembangunan bola sepak dapat berjalan lancar dengan ketiadaan beliau dalam jawatankuasa berkenaan.

Selain itu FAM, dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutifnya yang dipengerusikan oleh Presiden FAM Sultan Ahmad Shah pada November lepas, telah memutuskan untuk tidak menyambung kontrak ketua jurulatih skuad kebangsaan, Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal yang tamat pada 31 Dis.

Ia ekoran kegagalan Rajagobal melepasi petunjuk prestasi utama (KPI) FAM untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia.

Kekosongan tempat Rajagobal, yang dilantik sebagai jurulatih skuad Harimau Malaya selama lima tahun bermula 2009, akan digantikan sementara oleh Kim Swee.

Sorotan Sukan Oleh Farhanah Azmi dan Karina Imran -- BERNAMA

1 comment: