Tuesday, December 24, 2013

Selamat tinggal Myanmar



NAY PYI TAW - Setelah 16 hari berlangsung bermula 4 Disember dan dibuka secara rasmi 11 Disember lalu, Sukan SEA Myanmar ke-27 yang diadakan di Nay Pyi Taw dan Yangon akhirnya melabuhkan tirai, semalam.

Upacara penutupan telah disempurnakan dengan jayanya di Stadium Wunna Theikdi yang turut disaksikan 30,000 penonton oleh Naib Presiden Myanmar, U Nyan Tun sambil disajikan pelbagai upacara kebudayaan dan hiburan serta letupan bunga api.

Mempertandingkan 33 jenis sukan dengan pecahan 287 acara, kontinjen Thailand muncul juara keseluruhan apabila terlalu unggul dengan meraih 107 pingat emas, 94 perak dan 81 gangsa.
Hajat tuan rumah untuk muncul juara di tempat sendiri tidak kesampaian apabila menduduki tempat kedua dengan mendapat 86 pingat emas, 62 perak dan 85 gangsa sementara Vietnam di tangga ketiga, 73 emas, 86 perak dan 86 gangsa..

Malaysia menamatkan kempen di tangga kelima dengan memungut 43 pingat emas, 38 perak dan 77 gangsa di belakang Indonesia, 65 emas, 84 perak serta 111 gangsa.

Tempat keenam adalah pasukan Singapura, diikuti Filipina, Laos, Kemboja, Timor Leste dan Brunei.
Akuatik kekal menjadi lubuk emas kontinjen negara dengan 12 pingat berjaya dikaut, lapan dari acara terjun serta empat melalui acara renang dan karate juga tidak kurang hebatnya apabila meraih tujuh pingat emas.

Acara-acara sukan lain yang turut menyumbangkan emas buat negara adalah olahraga (4), ekuestrian (3), wusyu (3), memanah (2), muay (2), hoki (2), pelayaran (2), pencak silat (2), menembak (1), bina badan (1), snuker/billiard (1) dan badminton (1).

Atlet terjun negara, Ooi Tze Liang, muncul atlet terbaik negara dengan meraih tiga pingat emas.
Secara keseluruhan, tiada masalah sepanjang penganjuran di Sukan SEA Myanmar dengan kemudahan infrastruktur sukan yang disifatkan terbaik, malahan tidak keterlaluan boleh dianggap bertaraf dunia.

Berbanding dengan Indonesia dua tahun lalu, Sukan SEA kali ini dilihat lebih lancar dengan layanan yang cukup baik kepada atlet, pegawai dan media.

Singapura bakal menjadi tuan rumah bagi Sukan SEA ke-28 yang akan dianjurkan pada tahun 2015.

No comments:

Post a Comment